Tuesday, October 26, 2010

Perwaja Bina Kilang Pempeletan Bijih Besi Pertama Negara

Perwaja Holdings Bhd, sebuah syarikat pengeluar produk keluli utama, akan melabur sejumlah RM400 juta untuk membina kilang pempeletan bijih besi pertama di negara ini bagi mengurangkan pergantungan kepada bijih besi diimport.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, berkata kilang itu, yang akan dibina dalam dua peringkat, akan berkemampuan mengeluarkan 2.4 juta tan metrik setahun apabila kedua-dua peringkat siap.

Fasa pertama akan bermula dalam suku pertama tahun depan dan dijadualkan siap sebelum akhir 2012, katanya kepada pemberita selepas upacara menandatangani perjanjian kontrak antara Perwaja Steel Sdn Bhd dengan Sinosteel Equipment & Engineering Co Ltd semalam.

Kontrak bernilai US$65 juta itu diberikan kepada Sinosteel Equipment & Engineering, yang akan mereka bentuk dan membina kilang pemekatan dan pempeletan itu di tapak pengeluaran Perwaja di Kemaman, Terengganu.

Abu Sahid berkata kemampuan pengeluaran baharu itu akan dapat menampung 80 hingga 90 peratus keperluan syarikat dan boleh menjimatkan lebih 15 peratus daripada kos pengeluaran.

Pada masa ini, Perwaja dan kilang besi terturun terus yang lain di Malaysia mengimport 100 peratus pelet bijih besi dari luar negara. Harga bijih besi telah meningkat dengan ketara daripada US$110 setan metrik kepada US$220 setan metrik tahun ini.

Syarikat itu juga sedang mencari peluang menubuhkan usaha sama dengan kerajaan negeri Terengganu untuk mendapatkan bekalan tetap bijih besi yang, dari negeri itu sahaja, berjumlah kira-kira 40 juta, kata Abu Sahid.

"Kami telah mengemukakan permohonan kami kepada kerajaan negeri bagi menubuhkan usaha sama. Terengganu mempunyai deposit bijih besi yang agak banyak, dan daripada mengeksportnya tanpa nilai tokok, lebih baik ditubuhkan usaha sama," katanya.

Syarikat itu menyasarkan perjanjian dalam bentuk konsesi dengan kerajaan negeri dan sebagai balasan ia akan menawarkan kepentingan ekuiti dalam kilang itu kepada kerajaan negeri, kata Abu Sahid.

Ditanya sama ada syarikat itu berminat untuk menandatangani perjanjian yang serupa dengan kerajaan-kerajaan negeri lain seperti Pahang dan Kelantan, yang turut mempunyai lombong bijih besi, beliau berkata syarikat itu bersikap terbuka terhadap idea itu.

Abu Sahid berkata kawasan-kawasan lombong tempatan yang telah dikenal pasti sebagai sumber-sumber termasuklah Bukit Besi di Terengganu, Bukit Iban, Lipis, Maran dan Lanchang di Pahang serta Kelantan, dengan kira-kira 100 juta tan metrik rizab bijih besi.

Pada masa ini, bijih besi tempatan dieksport pada harga US$80 setan metrik, tetapi ia akan diimport semula dalam bentuk pelet pada harga US$220 setan metrik, katanya.

No comments:

Post a Comment