Saturday, October 30, 2010

Terengganu Buka Pusat Pakar Harian 'iHEAL' di Mid Valley

Multi Slice CT Scan yang terdapat di pusat rawatan 'iHEAL' di Mid Valley, Kuala Lumpur

Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM22 juta bagi membuka pusat perubatan pakar harian dikenali sebagai `iHEAL’ bertempat di tingkat tujuh dan lapan Mid Valley, Kuala Lumpur.

Pusat rawatan yang mula beroperasi sejak tiga bulan lalu bakal dilancarkan secara rasmi pada bulan depan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk alat pemeriksaan menggunakan sinaran x-ray `Multi Slice CT Scan’ tercanggih i) yang mengandungi 640 slice berharga lebih RM8 juta.

Pelbagai kemudahan kepakaran disediakan di pusat rawatan itu meliputi pergigian, jantung , neuro, strok, kanser payu dara, rawatan anti penuaan dan pembedahan plastik serta kolagen.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM22 juta bagi membangunkan pusat rawatan itu dengan 60 peratus sahamnya dipegang oleh Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

Katanya, pusat pakar di bawah satu bumbung itu dibangunkan bagi kemudahan orang ramai termasuk keperluan rakyat Terengganu sekiranya terdapat kes kritikal yang memerlukan rawatan pakar dan kemudahan di situ.

“Kita akan melihat pada kes jika rakyat kita memerlukan rawatan pakar di pusat rawatan itu kita akan hantar dan kita akan lihat bagaimana kadar dan caj kepada mereka yang akan ditentukan kemudian,” katanya ketika melawat seorang pesakit injap jantung, Liew Kum, 70, di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Nurliza Mahmud dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw (Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar) serta Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

No comments:

Post a Comment