Saturday, October 30, 2010

Kuala Terengganu juga patut dikenali Bandar Hijau

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit mencadangkan agar Kuala Terengganu juga dikenali sebagai Bandar Hijau kerana sekeliling bandar itu terdapat banyak pokok yang menghijau yang menarik minat orang ramai melakukan aktiviti riadah.

"Saya datang ke sini dan dapat lihat orang begitu ramai berjoging ke kawasan bukit di tengah-tengah bandar ini. Jadi saya cadangkan kerajaan negeri supaya menanam lebih banyak lagi pokok untuk keselesaan mereka beriadah," katanya.

Katanya, Terengganu mempunyai 10 ikon pelancongan termasuk pulau-pulau seperti Pulau Redang, Perhentian, Kapas dan Tenggol manakala di tanah besar pula terdapat Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Air Terjun Cemerong, Pantai Rantau Abang dan Tasik Kenyir.

Beliau menyatakannya selepas merasmikan Cuti-cuti Malaysia Travel Fair Terengganu di Kuala Terengganu semalam. Turut hadir pada majlis itu Pengarah Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Abdul Rahman Shaari.


Program lima hari itu yang bermula Rabu lepas disertai sebanyak 80 pengusaha pelancongan termasuk ejen pelancongan, pengusaha hotel dan produk.

Beliau turut menyatakan sasaran menarik 24 juta pelancong asing melawat negara tahun ini dijangka dapat dicapai apabila seramai 16,181,680 pelancong asing telah berkunjung ke negara ini sehingga Ogos lalu.

Dr James berkata, sasaran itu sememangnya besar namun tempoh yang masih ada sehingga hujung tahun memberi keyakinan sasaran yang diletak bakal dicapai.

"Kedatangan pelancong sejak awal tahun menghasilkan pendapatan sebanyak RM30 bilion kepada negara,".

Beliau berkata, kejayaan negara menarik pelancong asing itu antaranya disebabkan kementerian mempunyai pejabat-pejabat pelancongan di luar negara yang berperanan mempromosi industri ini.

No comments:

Post a Comment