Friday, October 22, 2010

Terengganu Taja 100 Jemaah Haji Termasuk Ketua Kampung, JKKK

Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk menaja seramai 100 orang termasuk kakitangan kerajaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, turut ditaja untuk menunaikan rukun Islam yang ke lima itu ialah Imam, Bilal, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Katanya, pemilihan kakitangan kerajaan sama ada kakitangan bawahan atau atasan dilakukan berdasarkan prestasi kerja yang dinilai oleh ketua jabatan masing-masing manakala di peringkat JKKK pula, seorang daripada setiap Dewan Undangan Negeri ( DUN) bakal dipilih melalui kaedah yang sama.

"Tahun ini merupakan tahun keempat kerajaan negeri menaja golongan tersebut untuk menunaikan fardu haji sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan ikhlas selama berkhidmat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir bersama-sama 356 jemaah haji termasuk jemaah tajaan kerajaan negeri di Lapangan Terbang Sultan Mahmujd (LTSM) di Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Penerbangan KT 38 yang berlepas pada pukul 8.05 malam itu merupakan penerbangan yang ke empat dari LTSM membawa jemaah ke Madinah.

Pada tahun ini, sebanyak tujuh penerbangan terus diadakan melalui LTSM di mana dua lagi penerbangan bakal berlepas pada 25 dan 26 Oktober ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, program tajaan bakal haji itu akan diteruskan pada tahun depan yang dijangka turut melibatkan jumlah yang sama sebagai penghargaan dan terima kasih daripada kerajaan negeri.

Beliau yang berpuas hati dan berbangga kerana proses pengendalian jemaah haji dari LTSM itu turut mengakui bahawa proses tersebut berjalan dengan lancar serta dianggap terbaik.

Jelasnya, sepanjang penerbangan terus jemaah haji melalui LTSM itu, kerajaan negeri juga menyediakan makanan percuma kepada semua jemaah dan ahli keluarga mereka yang menghantar jemaah di lapangan terbang.

"Makanan percuma itu diperkenalkan sejak tiga tahun lalu apabila LTSM mengadakan penerbangan terus membawa jemaah haji bagi memudahkan jemaah dan keluarga masing-masing mendapatkan makanan,.

"Ini kerana bagi memberi keselesaan kepada jemaah dan ahli keluarga mereka memandangkan kedai menjual makanan agak terhad di sini dengan bilangan pengunjung yang ramai sudah tentu menyukarkan untuk mendapatkan makanan bagi menunggu keluarga masing-masing," kata beliau.

No comments:

Post a Comment