Tuesday, October 26, 2010

Tiga Beranak Bawa Cabaran Kejohanan Kuda Lasak Terengganu


Tiga sekeluarga dari Langkawi akan menggalas cabaran negara pada Terengganu International Endurance Sultan Cup mulai 5 hingga 7 November ini.

Mereka akan diketuai penunggang berpengalaman Mohamad Hamzah Abdullah yang juga pengurus ladang kuda Island Horses serta dua anaknya, Muhammad Ziyad dan Abu Ubaidah.

"Ini adalah kali kedua kami bertanding dalam kejohanan kuda lasak ini," kata Mohamad Hamzah ketika ditemui pada sesi latihan bersama anaknya, semalam.

Selain peserta tempatan, kejohanan itu akan turut disertai beberapa negara terkemuka seperti Chile, Amerika Syarikat, Perancis, Australia dan Uruguay.

Muhammad Ziyad yang sedang dalam persiapan untuk menyertai acara kuda lasak Sukan SEA 2011 di Indonesia, berkata penyertaannya dalam kejohanan itu bagi menguji kemampuannya.

Muhammad Ziyad, 15, pernah meraih beberapa kejayaan cemerlang termasuk memenangi tempat ketiga Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Junior Australia 2010 sejauh 80 kilometer pada Mac lepas.

Mohamad Hamzah berkata mereka juga akan turut menyertai Arabian Breeders World Cup di Las Vegas April depan.

No comments:

Post a Comment