Saturday, October 23, 2010

Usah malu rawat keluarga berpenyakit mental

Peserta yang turut sama memeriahkan acara Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Masyarakat di negeri Terengganu dinasihatkan tidak berasa malu dan segan untuk mendapatkan rawatan yang berterusan sekiranya terdapat ahli keluarga mereka mengalami penyakit mental.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Penguna Negeri, Datuk Dr. Abd. Rahman Mokhtar berkata, sikap sedemikian boleh memburukkan keadaan kepada penghidap, ahli keluarga dan juga orang awam.

Katanya, perkara tersebut jika diabaikan ia boleh mengundang pelbagai kejadian yang tidak diingini seperti pembunuhan kejam.

"Jika penyakit mental atau tekanan yang dihadapi tidak ditangani dengan baik, ia boleh mengundang masalah lebih serius disebabkan tingkah laku dan emosi golongan ini berubah secara drastik.

"Jadi ia perlu dirawat dengan segera dan ahli keluarga memainkan peranan yang penting untuk membawa mereka mendapatkan rawatan lanjut," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri di Muzium Terengganu, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia itu, turut diadakan pameran kesihatan dan forum selain beberapa acara fizikal seperti berbasikal, berjalan kaki dan demonstrasi senaman ringan secara berkesan.

Sambutan itu turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Kesihatan serta dimeriahkan dengan penyertaan Persatuan Diabetes Terengganu, Persatuan Basikal Terengganu, Kumpulan Sokongan Keluarga Skizofrenia (Penyakit Mental) dan para pelajar sekolah.

Mengulas lanjut, Dr. Abdul Rahman berkata, setiap pesakit yang menghidap penyakit mental akan mengalami tekanan sehingga mengakibatkan perubahan metabolisme badan, gangguan paras hormon dan sistem pertahanan badan.

Justeru, katanya, bagi mengurangkan kes-kes pembunuhan kejam oleh pesakit mental mereka perlu dirawat dengan segera.

"Jika kita lihat, di negeri ini beberapa kejadian pembunuhan kejam pernah berlaku dan kita percaya rawatan awal mampu mengatasi masalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment