Wednesday, October 6, 2010

Wan Farid Yakin BN Rampas Semula Kuala Terengganu

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yakin Barisan Nasional (BN) masih berpeluang menawan semula Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan kepada sejarah lalu di mana jumlah pengundi BN semakin bertambah walaupun pada pilihan raya kecil yang diadakan tahun lalu, parti itu tewas.

“Saya bercakap berdasarkan fakta sejarah yang mana jika dilihat pada PRU 1999, BN kalah di tangan Pas dengan majoriti undi 14,448, tetapi pada pilihan raya kecil 2009,kita hanya kalah dengan majoriti 2,631 undi.

“Ini membuktikan pengundi di Parlimen Kuala Terengganu sudah mula menerima BN dan memberi peluang kepada barisan kepimpinan politik untuk berkhidmat di sini pada masa akan datang,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian baru-baru ini.

Wan Ahmad Farid berkata, walaupun sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pernah mengatakan peluang Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi PRU ke-13 sangat cerah, namun ia tidak sesekali menggentarkan.

“Saya tidak yakin perkara itu kerana sebelum ini selepas kemenangan PRU 1999, Pas pernah mengatakan mereka akan mempertahankan pentadbiran kerajaannya di negeri ini tetapi apa yang kita lihat, sebaliknya.

“Mereka hanya mampu bertahan selama satu penggal untuk memerintah Terengganu apabila tewas pada 2004,” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata, khidmat kepada masyarakat akan terus ditekankan dengan seimbang melibatkan keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen ini.

“Walaupun BN hanya mampu menawan DUN Bandar, tetapi tidak semestinya kami mengetepikan rakyat di tiga DUN lain iaitu Batu Burok, Ladang dan Wakaf Mempelam.

“Ini sebab, kita mengamalkan kepada konsep ‘Menang dipertahankan, Kalah ditebus kembali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Farid berkata, UMNO peringkat bahagian dalam usaha mencari peruntukan khas bagi menubuhkan satu tabung membantu meringankan bebanan rakyat kurang berkemampuan terutama melibatkan pesakit kronik.

“Kita telah mengajukan permohonan kepada Kementerian Pembangunan Keluarga untuk mendapatkan peruntukan khas ini dan diharap ia dapat melancarkan usaha membantu kebajikan masyarakat memerlukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment