Saturday, November 27, 2010

Agro Bank Tambah Cawangan Pajak Gadai Islam Di Terengganu

Agro Bank akan membuka sebuah lagi pajak gadai Islam di Terengganu tahun depan dalam usaha mengembangkan khidmat dan aktivitinya di negeri itu.

Pengurus Agro Bank Terengganu Mohd Rahim Mohd Azin berkata pada masa ini Agro Bank mempunyai tujuh buah pajak gadai Islam di Terengganu.

"Selain itu, kita juga ada tiga buah cawangan bank biasa di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat Agro Bank sebanyak RM32,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pada majlis itu, Maidam diwakili Yang DiPertuanya Datuk Senara Muda, Mazlan Hashim sementara Mohd Rahim bagi pihak Agro Bank.

Mohd Rahim berkata cawangan baru pajak gadai Islam Agro Bank yang akan dibuka pada Mac tahun depan ialah di bandar baru Bukit Payong, Marang.

Katanya sebelum ini Agro Bank mempunyai pajak gadai Islam di Kemaman, Dungun, Jerteh (Besut), Kuala Terengganu, Kuala Berang (Hulu Terengganu) dan Cheneh (Bukit Besi).

Di samping itu, Agro Bank juga ada cawangan bank biasa iaitu di Marang, Besut dan Permaisuri (Setiu).

Mohd Rahim berkata 90 peratus daripada pelanggan pajak gadai Islam Agro Bank di Terengganu terdiri daripada orang Islam dengan nilai gadaian lebih RM4 juta sebulan.

Beliau berkata nilai gadaian tersebut meningkat mendadak berbanding tahun lepas yang sebanyak antara RM300,000 hingga RM400,000 sebulan.

Orang ramai tertarik dengan khidmat pajak gadai Islam Agro Bank kerana ciri-ciri produknya seperti caj upah simpan yang murah di samping barang kemas mereka selamat, katanya.

Mohd Rahim berkata pajak gadai Islam Agro Bank juga merupakan satu trend di kalangan peniaga yang selama ini bergadai kerana kesempitan wang, tetapi sekarang sudah berubah kepada perniagaan.

"Contohnya peniaga-peniaga di Pasar Siti Khatijah, Kelantan telah lama menggunakan khidmat pajak gadai Islam Agro Bank untuk mendapatkan modal segera atau dalam lain perkataan pagi mereka gadai barang kemas, bila dapat untung petang mereka tebus semula," katanya.

No comments:

Post a Comment