Saturday, November 27, 2010

Batik Di Terengganu Akan Diletak Tanda Pengenalan

Semua produk batik Terengganu akan diletak tanda pengenalan 'Batik Tulin Terengganu' bagi mengesahkan pengeluaran batik berkenaan dari negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri Terengganu Datuk Mohamed Awang Tera berkata tanda berkenaan bagi mengelakkan batik-batik yang dikeluarkan dari tempat lain, juga dikatakan keluaran Terengganu.

"Persatuan Pembatik Negeri Terengganu akan menguruskan tanda nama berkenaan kepada semua batik keluaran negeri itu.

"Kita tahu mungkin ada yang akan meniru tanda atau cop pada batik berkenaan, tetapi kita ada cara tersendiri untuk mengesahkan batik keluaran Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Batik, Songket dan Kraf (FESBAK) yang bertemakan 'Menjulang Songket, Batik sebagai Industri', di Kuala Terengganu, kelmarin yang turut dihadiri Pengarah Kraf Terengganu Zahir Ahmad.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengadakan kerjasama dengan kerajaan Indonesia (Palembang, Makasar dan Jogjakarta) dalam usaha perkongsian reka bentuk corak, kemahiran pembuatan produk tradisional negeri Terengganu terutamanya songket dan batik.

Katanya bagi memperkasakan industri itu, kerajaan terus giat mempromosi tekstil warisan ini ke persada dunia melalui program Idaman Terengganu ke beberapa negara Eropah dan juga kota-kota fesyen seperti Milan, Paris, Barcelona dan London.

"Kita telah mendapat pujian dan penghargaan atas inisiatif ini daripada beberapa ikon fesyen di sana seperti Giorgio Armani, Prada, LV, Zara dan lain-lain," katanya.

Mengenai songket pula, Mohamed berkata songket buatan tangan dari Terengganu masih belum ada tandingan, walaupun harganya agak tinggi.

Kita menghadapi persaingan pengeluaran songket dari India. Ini kerana songket keluaran India murah, tetapi ia tidak bermutu berbanding songket keluaran negeri Terengganu.

Mohamed berkata kerajaan juga tidak bimbang mengenai pasaran songket kerana ia mempunyai pasaran tersendiri yang diminati oleh golongan tertentu.

No comments:

Post a Comment