Friday, November 12, 2010

Aktiviti Melukis Meriahkan Piala Monsun

Bank Rakyat mengambil insentif selaku salah satu penaja Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun dengan menganjurkan pertandingan melukis untuk kanak-kanak Piala Monsun Kelab Nuri, 4 Disember ini.

Piala Monsun yang akan berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resot dan SPA di Pulau Duyong, Kuala Terengganu bermula 30 November hingga 5 Disember diadakan bersama dengan siri terakhir Jelajah Dunia (WMRT) bersempena karnival monsun.

Antara aktiviti diadakan sempena karnival Monsun ialah persembahan kebudayaan 1Malaysia, sukan tradisional , pertandingan memancing, Rentak Piala Monsun dan konsert TV9. Salah satu acara paling mendapat sambutan setiap tahun ialah pertandingan melukis kanak-kanak yang diadakan 4 Disember ini oleh Bank Rakyat, dan antara tetamu khas dijemput adalah karektor disukai ramai, Upin dan Ipin.

Pertandingan melukis itu terbahagi kepada empat kategori iaitu kategori A bagi pra sekolah berusia lima dan enam tahun, kategori B (tujuh dan lapan tahun), kategori C (sembilan dan sepuluh tahun) dan kategori D (11-12 tahun).

Pelbagai hadiah menarik disediakan penganjur kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga, di samping sepuluh hadiah sagu hati disediakan bagi setiap kategori.

Sebagai satu daya tarikan untuk kanak-kanak, Bank Rakyat juga akan memberi hadiah kepada lima orang terbanyak menyimpan wang di bank itu dan hadiah akan disampaikan Pengerusi T Best, penganjur Piala Monsun, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

"Kami menganjurkan Karnival Monsun supaya rakyat Terengganu boleh mengambil bahagian dan menghayati Piala Monsun. Sebagai bank terunggul di negara ini, kami berbangga kerana Bank Rakyat melangkah ke hadapan dengan mengambil bahagian dalam karnival monsun," kata Sabbaruddin.

No comments:

Post a Comment