Friday, November 19, 2010

Angkara Dadah, Pasangan Sambut Aidiladha Dalam Lokap

Sepasang suami isteri menyambut Hari Raya Aidiladha dalam lokap setelah ditahan polis Selasa lalu berhubung kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata pasangan suami isteri berumur 23 dan 21 tahun itu ditahan di rumah sewa mereka di Kampung Tok Hakim, Padang Midin kira-kira 11 pagi.

"Dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu, pihak polis menemui tujuh bungkusan berwarna biru dipercayai berisi 1,260 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM40,000.

"Siasatan polis juga mendapati, rumah pasangan itu dijadikan tempat pengedaran dadah dan mereka dipercayai menjadi pembekal kepada penagih tegar di daerah Marang," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Terengganu, kelmarin.

Dadah yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran.

Suami isteri itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mereka juga negatif, katanya.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Chendering itu disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori.

Kedua-dua suspek kini direman seminggu untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment