Thursday, November 18, 2010

Azizulhasni Pembakar Semangat Atlet Malaysia

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kanan) meraikan kejayaan Azizulhasni Awang dan Josiah Ng (kanan) yang memenangi emas dan perak dalam acara keirin basikal trek Sukan Asia di Guangzhou, kelmarin.


Kejayaan Azizulhasni Awang dan Josiah Ng meraih kemenangan 1-2 dalam acara akhir keirin kelamrin menjadi pembakar semangat atlet yang lain untuk mencipta kejayaan, sekali gus merealisasikan sasaran membawa pulang sembilan pingat emas pada Sukan Asia kali ini.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia XVI, Datuk Zolkples Embong yang juga adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, kejayaan Azizulhasni dan Josiah itu juga membuktikan Malaysia memiliki pelumba basikal yang bagus, walaupun terpaksa berdepan dengan taktik tuan rumah yang mengatur jadual ketat bagi tiga perlumbaan - pecut berpasukan, 200 meter pecut dan keirin dalam temasya ini.

''Kita telah membuktikan bahawa kita adalah yang terbaik di Asia. Alhamdulillah atas kejayaan ini. Kemenangan ini juga membuktikan bahawa kejayaan di Delhi (Sukan Komanwel, bulan lalu) bukan kerana nasib. Kita sebenarnya ada pelumba yang bagus.

''Kita tengok taktik China (buat jadual lumba). Tapi jurulatih John Beasley telah melakukan percaturan yang baik dengan merehatkan Azizulhasni dalam acara pecut berpasukan dan taktik dalam acara akhir untuk gangsa 200m pecut. Akhirnya kita berjaya dalam keirin," katanya yang ditemui sebelum acara penyampaian pingat berlangsung di Velodrome Guangzhou, kelmarin.

Dalam saingan akhir keirin, kelmarin, Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat pertama untuk meraih pingat emas, manakala Josiah pula mengulangi pencapaiannya di Doha, empat tahun lalu apabila membawa pulang perak walaupun menang emas pada Sukan Komanwel Delhi, bulan lalu.

Dalam pada itu, Beasley berkata, kesemua tekanan yang ditanggungnya selama acara berbasikal Sukan Asia terlerai selepas menyaksikan kemenangan 1-2 Azizulhasni dan Josiah.

Beliau berkata, kemenangan dua pelumba negara itu amat istimewa, sama seperti yang dilakukan oleh kedua-duanya pada Sukan Komanwel Delhi, walaupun pada akhirnya kemenangan Azizulhasni dibatalkan oleh komisar yang mendakwa Azizulhasni melakukan kesalahan semasa berlumba.

Menurut Beasley, dia telah mengarahkan kedua-dua anak didiknya agar tidak menyaingi antara satu sama lain, sebaliknya kedua-duanya perlu berusaha keras untuk mencatat kemenangan.
Pada perlumbaan akhir acara keirin, semalam, Azizulhasni yang memulakan aksi paling hadapan sambil diekori Josiah, tidak lagi menoleh ke belakang walaupun ketika memecut di selekoh 200 meter terakhir, berlaku pelanggaran pelumba Iran, Mohammad Parash dengan pelumba tuan rumah, Zhang Lei, juara acara pecut 200m sehingga kedua-duanya terbaring di atas lantai veleodrome.

Mengulas perancangannya selepas temasya ini, Azizulhasni berkata, dia akan menumpukan latihan bagi persediaan siri Piala Dunia dalam usaha mencari mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012.

Azizulhasni pula berkata berliau berasa marah, geram, takut dan kecewa sebelum perlumbaan dan semuanya saya pusatkan pada perlumbaan akhir ini. “Saya beritahu jurulatih (John Beasley) saya akan buat cara kamikaze. Saya tidak kisah apa akan berlaku kerana saya mahu menang.

Kalau kalah sekalipun , saya akan berpuas hati sebab telah mengerah seluruh kudrat dalam acara akhir ini. Kepala saya benar-benar lega. Selepas kecewa dalam acara 200 meter pecut, saya rasa sangat tertekan untuk bersaing dalam acara akhir Keirin. Tetapi semua bebanan itu hilang selepas menang pingat emas.”

Azizulhasni yang kelihatan sangat ceria, malah mahu menghadiahkan kemenangannya itu kepada emak, ayah dan isterinya. Dia akan mencukur kepalanya sehingga botak sebagai menyempurnakan nazar yang dibuat jika berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara keirin berkenaan.

No comments:

Post a Comment