Thursday, November 18, 2010

PDRM beku cuti hadapi banjir

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu membekukan cuti kepada semua pegawai dan anggotanya berjumlah 2,737 orang bagi persediaan banjir sepanjang musim tengkujuh di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Mohd Shukri Dahlan (gambar kiri) berkata, penguatkuasaan pembekuan cuti bermula 1 November lalu dibuat berdasarkan kepada ramalan Jabatan Meteorologi bahawa berlaku banjir besar di Terengganu.

Menurutnya, PDRM berasa bertanggungjawab dalam memastikan pihaknya dapat menggerakkan kekuatan tenaga yang ada pada bila-bila masa.

“Pembekuan cuti melibatkan semua jabatan PDRM dan akan ditamatkan sebaik sahaja musim tengkujuh berakhir serta pulih seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian di Kuala Terengganu, kelamrin.

Pihaknya yang dipertanggungjawabkan menyelia jawatankuasa pemindahan dan keselamatan banjir juga bersiap sedia mengerahkan keseluruhan tenaga bagi membantu mangsa yang terlibat berdasarkan kepakaran masing-masing.

Beliau berkata, pergerakan bermula sebaik sahaja Terengganu diisytiharkan banjir, dalam masa sama katanya, keadaan itu tidak akan sesekali menjadi alasan pegawai dan anggotanya mengabaikan tugas harian masing-masing.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai di negeri ini memandang serius terhadap bencana tersebut bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini yang boleh menyebabkan keselamatan nyawa terancam.

Bagi persiapan awal, katanya, mereka yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan menyimpan barang di tempat selamat dan memberi perhatian sepenuhnya kepada keselamatan diri sendiri apabila banjir melanda.

“Mereka perlu berada dalam keadaan bersiap sedia kerana banjir di negeri ini bukan perkara baru. Apabila mendapat arahan berpindah, mereka perlu berkejar untuk berpindah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa memantau perkembangan anak sepanjang cuti persekolahan dengan tidak membiarkan mereka menjadikan banjir sebagai pesta bagi mengelak insiden mati lemas yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.

No comments:

Post a Comment