Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju meminda perlembagaannya dengan memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus berkuat kuasa pada Sabtu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan dan selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu.
"Mereka yang ingin menyertai BN boleh mohon secara terus menjadi anggota bersekutu. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimwewaan mereka yang menjadi ahli (anggota) bersekutu.
"Anggota bersekutu tidak mempunyai hak yang sama seperti mana anggota pada parti komponen tetapi kita ingin memperlihatkan BN sebagai parti yang inklusif dan bersikap pintu terbuka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan bahawa keanggotaan bergabung boleh dipohon secara terus yang bererti mana-mana pertubuhan politik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan boleh memohon menjadi anggota.
"Ini satu usaha kita, untuk pergi kepada kumpulan- kumpulan lain yang ingin bekerjasama dengan BN kerana mereka percaya dengan matlamat perjuangan BN," katanya.
Najib berkata apapun keputusan yang dibuat dari segi anggota bersekutu dan anggota bergabung hanya akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN kelak.
Syarat itu diletakkan bagi mengelakkan mereka yang mempunyai niat jahat terhadap BN menyertai parti itu, katanya.
"Ini kerana kita tak boleh nak tentukan segala-galanya tetapi kita akan ambil kira pandangan dari semua parti komponen BN, di mana semua keputusan kita buat secara sebulat suara," jelas beliau.
Najib berkata anggota parti komponen BN pula tidak boleh menyertai BN secara anggotaan bersekutu dan bergabung.
"Maknanya kalau kita dah jadi (anggota) Umno, tak boleh tinggalkan Umno. MIC (pohon) masuk bersekutu (pun tidak boleh)," katanya.
Najib berkata pindaan perlembagaan itu juga melibatkan penubuhan Kelab Sahabat BN yang membuka peluang kepada sesiapa yang mahu menjadi sahabat dan rakan kepada BN.
Pindaan itu akan diwartakan dan tarikh ia berkuat kuasa akan dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), katanya.
Selain itu, Kelab Rakan Muda BN juga akan diwujudkan dengan kumpulan sasaran adalah mereka yang berumur antara 18 dan 21 tahun yang ingin menyokong dan menghayati perjuangan parti tetapi belum menjadi pengundi.
Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu adalah yang terakhir bagi Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan atas sumbangan beliau selama ini.
Najib berkata Samy adalah rakan setia kepada BN dan berharap bekas Menteri Kerja Raya itu terus bersama BN dengan turut menyumbang dalam kapasiti berlainan untuk kepentingan bersama.
Mengenai Konvensyen BN pada 28 Nov ini, Najib berkata segala persiapan telah diatur dengan baik dan Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa tema utama konvensyen itu mesti berkisar kepada konsep bahawa BN mendahulukan kepentingan rakyat ataupun BN meletakkan kepentingan rakyat sebagai kepentingan utamanya.
"Ini adalah supaya tema kita ini mesti selaras dengan tema nasional...kita tekankan rakyat kerana dalam demokrasi berparlimen inilah (rakyat) merupakan kelompok yang terpenting," katanya.
Beliau berkata BN mesti merupakan parti yang sanggup berkhidmat, berjuang dan membela kepentingan rakyat pada setiap masa dan ketika.
Sunday, November 21, 2010
BN Setuju Benarkan Keanggotaan Terus Secara Bersekutu, Bergabung
"Mereka yang ingin menyertai BN boleh mohon secara terus menjadi anggota bersekutu. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimwewaan mereka yang menjadi ahli (anggota) bersekutu. Anggota bersekutu tidak mempunyai hak yang sama seperti mana anggota pada parti komponen tetapi kita ingin memperlihatkan BN sebagai parti yang inklusif dan bersikap pintu terbuka," - Najib Razak
No comments:
Post a Comment