Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 yang belum dibuka menjadi lokasi kemalangan maut membabitkan tiga mat rempit, Rabu lalu, mula menjadi tumpuan samseng jalanan yang menjadikan laluan itu sebagai medan litar lumba haram selepas diturap, sebulan lalu.
Tinjauan Berita Harian di lokasi itu mendapati, kumpulan samseng jalanan memasuki lebuh raya itu melalui laluan sementara yang dibina untuk kenderaan yang terbabit dengan kerja pembinaan LPT.
Kumpulan mat rempit itu dipercayai menggunakan laluan dalam kebun getah menghubungkan Kampung Manir dan kawasan sekitar dengan lebuh raya berkenaan untuk ke lokasi litar lumba haram.
Seorang remaja lelaki dipercayai samseng jalanan yang enggan dikenali berkata, lebuh raya itu menjadi medan pertemuan mat rempit dari Manir dan Tepoh untuk berlumba secara haram.
Pada kejadian Rabu itu, tiga remaja yang dipercayai menyertai lumba haram di LPT yang belum dibuka di Kampung Bukit Guntong, Tepoh dekat Kuala Terengganu, maut dengan seorang daripadanya hampir putus kepala selepas motosikal mereka bertembung sesama sendiri.
Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa, Solihuemi Harun, 16, dari Kampung Hulu Jeram, Tepoh, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala dua lagi, Mohd Abd Rahman Jusoh, 20, dari Kampung Raja dan Mohd Firdaus Mohd Nawi, 20, dari Kampung Sungai Ikan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim, berkata dua motosikal yang ditunggangi remaja terbabit dikatakan bergesel sebelum dirempuh sebuah motosikal lain.
Siasatan awal mendapati dua daripada mangsa yang terkorban tidak memakai topi keledar. Sebuah motosikal terbabit pula dilaporkan dicuri untuk perlumbaan haram,” katanya.
No comments:
Post a Comment