Wednesday, November 10, 2010

Bot Karam – Banyak Pengajaran Daripadanya...

Menteri Besar melawat mangsa bot karam di Hospital Kemaman, petang Ahad lalu. -Gambar UKOM

Kejadian bot pelancong karam menyebabkan kesemua mangsa, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang hilang, di sekitar perairan Pulau Tenggol, 6 November memberikan banyak pengajaran.

Walaupun semuanya ditemui selamat selepas terpaksa bersabung nyawa lebih 15 jam terapung di laut, ia bagaikan ‘mati hidup semula’.

Mangsa yang berada dalam keadaan lemah dan kesejukan ditemui kira-kira 16 batu nautika ke selatan pulau itu oleh bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga dalam operasi dan menyelamat pada 7 November.

Keajiaban ini sebenarnya melegakan banyak pihak termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mengatakan: ‘“Alhamdulillah. Pada mulanya, saya cukup bimbang dengan keselamatan semua mangsa selepas mengetahui berita itu pagi tadi, namun apabila dimaklumkan mereka semua ditemui selamat saya sungguh bersyukur,” ketika melawat sebahagian daripada 16 mangsa bot karam yang menerima rawatan di Hospital Kemaman (HK) , petang Ahad lalu (7 November).

Apakah pengajaran dimaksudkan?

1. Aktiviti riadah dan rekreasi di pulau dan laut pada musim tengkujuh hendaklah dihentikan kerana boleh mengundang ancaman kepada nyawa;

2. Penerangan jelas kepada pelancong bahawa mereka tidak digalakkan melakukan aktiviti menyelam atau berkaitan dengannya pada musim tengkujuh
hendaklah dipeluaskan;

3. Nyatakan dengan jelas risiko seperti kehilangan nyawa, harta benda dan sebagainya perlu ditanggung oleh mereka yang melanggar arahan berkenaan;


4. Pelampung dan penggunaannya amat penting. Kerajaan Negeri wajar memikirkan untuk mewartakan jenis pelampung yang wajar digunakan;

5. Bot perlu diperiksa setiap masa kerana kejadian yang berlaku ini dikatakan akibat bot bocor;

6. Pasukan penyelamat perlu lebih cekap kerana faktor takdir dan penggunaan pelampung yang ‘tahan dan sesuai’ menyelamatkan kesemua mangsa. Penggunaan helikopter wajar diperkenalkan; dan

7. Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang melanggar arahan ini termasuk pengusaha bot, penganjur lawatan dan pihak-pihak berkaitan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

Pihak berkuasa dilaporkan sedang menyiasat kejadian ini untuk mengesan puncanya.

Menurut Pengarah Jabatan Marin Terengganu, Rossid Musa pasukan penyiasat juga memberikan perhatian sama ada wujud pelanggaran syarat dan peraturan bot penumpang yang menyebabkan kemalangan itu.

Sementara mendoakan mereka yang dirawat cepat sembuh dan dapat melupai pengalaman cemas berkenaan, kita berharap laporan akan menjadi panduan untuk diperkenalkan peraturan lebih tegas bagi menyekat kejadian berulang di Terengganu.

No comments:

Post a Comment