Wednesday, November 10, 2010

Keluarga Mangsa Banjir Pindah Dapat Bantuan RM500

Nasib mangsa banjir di Terengganu mungkin tidak seburuk di negeri lain kerana kerajaan negeri menyediakan bantuan kewangan RM500 kepada setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan bagi mengurangkan beban mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata selain bantuan kewangan secara langsung, kerajaan negeri juga sudah memperuntukkan RM600,000 untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan harian mangsa banjir di pusat pemindahan.

Katanya, sebanyak 341 pusat pemindahan dan 123 pangkalan hadapan sudah dibuka dan sedia digerakkan, walaupun ketika ini belum ada mangsa yang dipindahkan.

“Bekalan makanan seperti beras, ikan sardin, gula, kopi, biskut serta keperluan lain termasuk kain batik, selimut dan tikar sudah dihantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke semua daerah sejak pertengahan bulan lalu.

“Pegawai daerah dan kakitangan JKM serta agensi penguat kuasa lain seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sudah diarah bersiap sedia untuk melaksanakan tanggungjawab memindahkan mangsa banjir,” katanya.

Beliau menyatakannya selepas merasmikan program Juara Rakyat (Kesihatan dan Keselamatan) peringkat Parlimen Marang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Wakaf Tapai, kelmarin.

Yahya yang juga ADUN Pangkalan Berangan berkata, semua mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan kerajaan negeri, termasuk penyokong parti pembangkang akan menerima kemudahan itu.

“Kita memberi jaminan bahawa bantuan dan pertolongan disediakan oleh kerajaan negeri adalah untuk semua rakyat tanpa mengira sentimen politik,.. tidak seperti nasib mangsa banjir terutama penyokong Barisan Nasional (BN) di Kedah yang dipinggirkan daripada menerima bantuan kerajaan negeri.

“Apa juga kemudahan disediakan kerajaan negeri di pusat pemindahan banjir akan dinikmati semua mangsa banjir, termasuk penyokong parti pembangkang… asalkan mereka tinggal di pusat pemindahan,” katanya.

Yahya berkata, bantuan kewangan RM500 bagi setiap keluarga hanya akan diberikan kepada mangsa banjir yang berpindah di semua pusat pemindahan dan bayaran itu akan dibuat selepas musim banjir.

Mengenai penduduk yang enggan berpindah ke pusat pemindahan banjir tetapi turut membuat tuntutan bantuan disediakan Tabung Bencana tahun lalu, Yahya berkata, siasatan dilakukan mendapati mereka termakan hasutan pembangkang yang mendakwa makanan disediakan tidak bermutu.

“Apabila kerajaan mengumumkan bantuan bencana disediakan, mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan berlumba-lumba untuk mendaftarkan diri sebagai mangsa perpindahan dan kekecohan berlaku kerana nama mereka tidak disenaraikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment