Dr Mahathir menyampaikan ceramah perdana bertajuk 'Cabaran Umat Islam Masa Kini' di Kemaman semalam.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mencadangkan parti memecah belahkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini dibubarkan dengan segera kerana kewujudannya hanya akan menambahkan masalah kepada perpaduan umat Islam.
"Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab memecah belahkan umat Islam perlu ditolak sama sekali daripada membiarkannya menjadi pemimpin sehingga membawa kepada pergolakan sesama umat Islam itu sendiri.
"Umat Islam harus bersatu dalam parti yang besar (UMNO) yang selama ini banyak memainkan peranan membangunkan negara dan membela kebajikan rakyat.
"Takkan kita hendak pemimpin yang tidak tahu berbakti tetapi hanya tahu hendak menjadi Perdana Menteri. Sehubungan itu saya menyeru kepada penyokongnya agar bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan seperti kata pepatah Melayu," katanya.
Dr Mahathir menyatakan demikian ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk "Cabaran Umat Islam Pada Masa Kini" di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman anjuran Institut Pembangunan Terengganu dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu yang dihadiri oleh hampir 6,000 orang kakitangan awam dan masyarakat sekitar.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Dr Mahathir juga berkata sudah sampai masanya penyokong dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai UMNO kerana terbukti PKR diwujudkan hanya untuk kepentingan individu tertentu dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.
Menurutnya dengan pembubaran PKR, orang Melayu serta umat Islam diyakini akan kembali bersatu teguh dalam sebuah parti yang selama ini banyak memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka.
Bekas Perdana Menteri itu berkata mana-mana parti kecil perlu kembali menyertai parti besar bagi mengukuhkan perjuangan orang Melayu yang kini terpecah kepada tiga kumpulan.
"Tidak pernah ada parti besar nak masuk parti kecil, parti kecillah yang masuk parti besar yang ada sokongan.
"Mereka (PKR) kata, ada 400,000 ahli tapi tak sampai 10 peratus pun yang ada. Ada pula bahagian hanya seorang sahaja ahli," katanya.
lepas PRU 13.. tutup la PKR
ReplyDelete