Saturday, November 13, 2010

Laluan Baru Elak Kesesakan ke Pasar Payang, Pulau Warisan

Berkuatkuasa hari ini (13 November 2010), pengguna jalan raya yang ingin ke Pasar Kedai Payang dan Pulau Warisan akan mengguna laluan baru bagi mengelakkan kesesakan di kawasan berkenaan.

“Pengguna yang melalui Jalan Sultan Ismail dan Jalan Hiliran untuk ke Pasar Kedai Payang perlu melalui Jalan Pulau Warisan di belakang Hotel Seri Malaysia,” kata Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Datuk Adzlan Mohd Dagang.

Katanya, Jalan Bandar akan dijadikan jalan satu hala dari Pasar Kedai Payang dan mereka yang menggunakan Jalan Kampung Tiong tidak boleh membelok ke kanan seperti aliran trafik sebelum ini.

“Manakala orang ramai yang datang dari Jalan Kampung Tiong boleh menggunakan Lorong Haji Jamil di belakang tokong Cina untuk keluar ke Jalan Banggol dan ke pusat bandar,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat MBKT, kelmarin.

Katanya, MBKT akan membina lampu isyarat di persimpangan Pasar Kedai Payang – Jalan Banggol bagi mengelakkan pertembungan kenderaan yang keluar dari pasar berkenaan menghala ke Jalan Banggol.

“Perubahan laluan sehala ini dibuat sempena dengan pembukaan ‘double frontage road’ di Pulau Warisan yang telah mengubah senario Kampung Cina secara keseluruhanya dan dalam tempoh dua tiga minggu ini kita akan menempatkan penguat kuasa dan anggota polis trafik bagi melicinkan perjalanan orang ramai,” katanya.

Menurut Adzlan, pihaknya juga akan membuat perubahan petak tempat meletak kenderaan mengikut aliran trafik baru selain memasang papan tanda di kawasan yang dikenal pasti bagi mengelak kekeliruan orang ramai terhadap perubahan baru ini.

Beliau seterusnya berharap, orang ramai dapat memberi kerjasama yang baik kepada pihaknya yang melaksanakan perubahan bagi menjamin keselesaan semua pihak terutama penduduk di bandar raya ini yang sering merungut mengenai kesesakan teruk berlaku terutama waktu puncak atau musim cuti persekolahan.

Unit Komunikasi

No comments:

Post a Comment