Saturday, November 13, 2010

Terengganu Berdepan Lima Gelombang Banjir Mulai November Hingga Februari

Terengganu dijangka dilanda lima gelombang banjir musim tengkujuh bermula pertengahan bulan ini dan berterusan sehingga awal Februari depan.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri Leftenan Kol Kamal Mokhtar berkata gelombang ketiga iaitu pada hujung bulan depan sehingga awal Januari depan diramalkan paling buruk.

"Berdasarkan jangkaan yang dibuat Jabatan Meteorologi negeri, banjir tahun ini akan lebih buruk berbanding tahun lepas. Bagaimanapun keadaannya, kita telah bersiap sedia menghadapinya," katanya semalam.
Beliau berkata seramai 1,500 daripada 18,000 pegawai dan anggota JPAM negeri telah dilatih dalam persiapan menghadapi bencana banjir yang dijangka mula berlaku di daerah Hulu Terengganu dan Besut sebelum melanda daerah-daerah lain.

Katanya setakat ini, seramai 500 anggota yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengendalian bot, skuba dan pengurusan di pusat pemindahan kini dalam keadaan berjaga-jaga.
Kamal berkata pihaknya telah memulakan operasi 24 jam di tiga daerah iaitu Besut, Dungun dan Kuala Terengganu, manakala operasi seluruh negeri akan dimulakan sekiranya lebih dari dua daerah dilanda banjir.

"Setiap daerah juga dilengkapi empat kenderaan pacuan empat roda, bot yang dilengkapi jaket keselamatan dan lori untuk memindahkan mangsa banjir, selain satu ambulans di setiap daerah untuk kes-kes kecemasan ketika banjir," katanya.

Selain bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi negeri untuk maklumat seperti jumlah hujan, pihaknya akan memantau paras sungai mulai Isnin ini dan menggerakkan pegawai ke kawasan-kawasan rendah yang sering dilanda banjir dan dikhuatiri terjejas dengan teruk, jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang tahun ini pihaknya telah melatih 17,000 orang awam dalam menghadapi bencana termasuk banjir, yang dijangka dapat memberi manfaat kepada penduduk ketika banjir berlaku.

Katanya untuk sebarang maklumat ataupun melaporkan kes-kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan JPAM Terengganu di talian 999 atau 09-6671643.

No comments:

Post a Comment