Wednesday, November 10, 2010

Pegawai Kesihatan ke Terengganu, Kelantan minggu depan

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata beberapa pegawai kesihatan dari kementeriannya akan turun padang minggu depan ke Kelantan dan Terengganu bagi mengadakan persiapan menghadapi banjir yang dijangka berlaku pada pertengahan bulan ini.

"Kita akan mulakan dengan pemberian susu tepung, lampin pakai buang bayi dan semua keperluan asas dan jumlah sukarelawan masih belum ditentukan lagi," katanya.

Berucap merasmikan penjenamaan semula Pusat Khidmat Bersepadu Seluruh Negara (OSCC) di Hospital Kuala Lumpur, semalam, beliau menyeru supaya kerajaan negeri bertanggungjawab dalam memastikan mangsa banjir mendapat bantuan sewajarnya dan tidak melepaskan tugas ini kepada kerajaan pusat semata-mata.

Beliau berkata OSCC) di Jabatan Aumatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijenamakan semula dengan memperluaskan fungsinya kepada lebih banyak bidang berbanding sebelum ini.

Katanya, melalui penjenamaan tersebut, beliau berharap lebih ramai rakyat yang ingin melaporkan sebarang kes-kes penderaan dapat memanfaatkan pusat berkenaan dengan sebaiknya.

"Melalui proses penjenamaan, perkhidmatan OSCC kini diperkembangkan kepada beberapa aspek berikut iaitu pengabaian dan penderaan warga emas, pengendalian kes-kes liwat, penderaan terhadap suami dan kes-kes pembuangan bayi.

Ini adalah usaha yang amat ditunggu oleh orang ramai dan OSCC diharap dapat memberi ruang untuk mereka terlibat menumpang kasih dan mengharapkan pembelaan sewajarnya,"

Turut hadir ialah Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain, Timbalan Pengarah 1 HKL, Dr Lailanor Ibrahim dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Traumatologi HKL, Prof Datuk Dr Hassan Asaari Abdullah.

No comments:

Post a Comment