Setiap pelajar Islam di Terengganu akan dikehendaki memulakan sesi pesekolahan harian mereka dengan membaca Al-Quran selama 10 minit mulai tahun depan.
Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu Razali Daud berkata ia adalah sebahagian daripada usaha pihaknya memberi penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar.
Beliau berkata pihaknya akan berusaha memastikan warga sekolah memiliki sahsiah dan akhlak yang mantap, selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.
“Kita mahu, walau di mana mereka berada dan apa yang dilakukan dan dicapai pada masa depan, pegangan agama akan menjadi sandaran dalam kehidupan.
“Ia sebahagian daripada pendekatan melestarikan pendidikan terbilang yang diberikan penekanan serius,” katanya dalam ucapan aluan majlis Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama Guru-Guru Daerah Besut, kelmarin (13 November 2010.
Razali berkata, dengan memulakan sesi pembelajaran dengan bacaan al-Quran dengan dipandu oleh ustaz, ia akan memberikan ketenangan emosi dalam menimba ilmu yang menjadi tuntutan agama.
Menurut Razali, pihaknya akan berusaha memastikan warga sekolah memiliki sahsiah dan akhlak yang mantap, selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.
“Bagi kelompok kecil pelajar Islam yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil pula tenaga ustaz akan digunakan bagi menguruskan mereka secara berkumpulan,” katanya.
Malah pendekatan baru itu diharap dapat disusuli dengan majlis khatam pada penghujung tahun di setiap sekolah kelak.
Selain itu katanya, pihak jabatan juga memutuskan semua program pembangunan sahsiah pelajar seperti perkhemahan dan kursus akan dilaksanakan di dalam kawasan masjid mulai tahun depan.
Katanya, ia tidak lagi diadakan di hotel atau resort yang semakin menjadi amalan meluas selama ini.
“Saya yakin tempat yang paling baik dalam usaha membangunkan sahsiah pelajar adalah masjid dan sekali gus ia turut membantu mengimarahkan institusi berkenaan.
“Umumnya masjid di negeri ini besar dan indah, malah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang dapat dimanfaatkan dan pihak jabatan telah mendapat kerjasama jawatankuasa-jawatankuasa masjid,” tegas beliau.
Katanya, ia juga dapat membantu menyemaikan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap rumah ibadat itu termasuk bersama-sama membersih dan mengindahkan persekitaran.
Di samping itu, ia juga dapat menjimatkan kos dan peruntukan lebihan boleh disalurkan kepada pelaksanaan program dengan pendekatan berkesan.
Selain itu katanya semua program-program pembangunan sahsiah pelajar seperti perkhemahan akan dilaksanakan di dalam kawasan masjid dan tidak lagi di resort atau di hotel-hotel sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.
Sementara itu Razali berkata semua sekolah di Terengganu akan dikehendaki mengadakan Solat Hajat sebelum cuti persekolahan bermula minggu depan, di samping satu lagi solat Hajat serentak di seluruh negeri yang dirancang sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.
Alhamdulillah..inilah sebenarnya yang diinginkan oleh anak2 Teremgganu,sy sendiri amat menyokong usaha ini 200%..harapan sy agar ia menjadi amalan dan kekal sampai bila2.Apapun yang kita lakukan MESTI aka WAJIB berbalik kepada Agama Islam.Syabas kepada kepimpinan MB Dato Seri Ahmad Said! kami anak2 Terengganu yang merantau jauh mencari rezeki halal amat2 menyokong kepimpinan Dato Seri.
ReplyDelete