Monday, November 15, 2010

Guru Pencetus Kejayaan Pendidikan di Terengganu - Ahmad Said

Ahmad Said menyampaikan pen drive kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud, Ab Rahman Sardar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menutup tirai pertemuan dengan 22,000 guru di seluruhTerengganu dengan dua acara beliau bersama Guru-Guru Daerah Setiu dan Besut, kelmarin (13 November 2010).

Majlis bagi Daerah Setiu diadakan pada sebelah pagi di hadiri seramai 1,646 guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Elit) Lembah Bidong.

Sementara majlis pada sebelah petang pula diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jerteh dihadiri 3,351 guru membabitkan 53 sekolah kebangsaan dan 20 sekolah menengah di daerah itu.

Pada majlis itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada guru kerana mampu menjadikan Terengganu kekal terbaik UPSR 2010 dan daerah Besut adalah yang terbaik di seluruh negara dalam peperiksaan.

Katanya, hasil kegigihan guru, Terengganu kini menduduki tangga teratas bagi semua peperiksaan, iaitu UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ahmad Said berkata kuota insentif lawatan ke luar negara tahun depan kepada guru besar dan pengetua sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan di negeri akan ditambah bagi menyuntik semangat berganda kepada golongan pendidik.

Mengumumkan perkara itu beliau berkata, kuota kepada guru besar yang memperoleh keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) cemerlang dihantar melawat ke luar negara akan ditambah daripada 20 kepada 50 orang.

Menurutnya, bilangan pengetua yang akan dihantar juga akan dikaji apabila mencapai jika Terengganu terus mengekalkan kejayaan sebagai negeri terbaik untuk peperiksaan OMR, SPM dan STPM.

“Ganjaran ini hadiah atas kesungguhan melahirkan kecemerlangan pelajar di negeri ini dan bagi guru besar yang sudah pergi sebelum ini mungkin selepas ini penolong kanan pula yang pergi,” katanya.

Sebelum ini, seramai 50 guru cemerlang di negeri ini sudah dihantar melawat Australia selama seminggu.

“Ia penghargaan Kerajaan Negeri kepada guru yang komited sehingga berjaya meletakkan Terengganu pada tangga teratas dalam tiga keputusan peperiksaan utama termasuk UPSR,” katanya.

Ahmad Said menegaskan, kerajaan Negeri sanggup berbelanja besar di bidang pendidikan dengan harapan melahirkan anak Terengganu yang cemerlang dan muncul sebagai profesional dalam pelbagai bidang, termasuklah menghantar pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pada kedua-dua majlis itu, Ahmad Said menyampaikan pen drive yang direka khas bernilai RM100 kepada guru yang hadir.Pemberian itu sebagai memenuhi janji beliau kepada lebih 22,000 warga pendidik negeri ini untuk memberikan cenderamata kepada mereka yang berjaya mengangkat pencapaian akademik negeri ini ke tahap membanggakan.

Kerajaan Negeri membelanjakan RM2.4 juta bagi menyediakan cenderamata itu, sebagai salah satu bentuk penghargaan kerana telah naikkan imej Terengganu sebagai ‘negeri anjung ilmu’.

Beliau bersalam dan mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang hadir.

Turut hadir pada majlis di Setiu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abd Rahman, Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Asha’ari Idris selain Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud.

Di Besut, selain Ahmad Razif dan Razali, turut hadir ialah ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad serta ADUN Jabi, Ramlan Ali.

No comments:

Post a Comment