Monday, November 22, 2010
SMK Lembah Bidong Menang Hadiah Harapan Baru Orang Utan
Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidung, Setiu, Terengganu muncul naib juara dengan meraih RM5,000 pada Program Sekolah Mengenai Harapan Baru Untuk Orang Utan.
Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Negeri Sembilan, menang hadiah utama dengan meraih RM8,000 pada program anjuran bersama WWF-Malaysia, BOH Plantation dan TV9.
Tempat ketiga menjadi milik Sekolah Menengah Dang Anum, Melaka dengan meraih hadiah RM2,000.
Pengarah eksekutif/ ketua pegawai eksekutif Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia Datuk Dr Dionysius Sharma, berkata Orang Utan, terutama di Sabah, kini berdepan dengan risiko akan hilang tempat kediaman dan akhirnya pupus dari negeri itu akibat penebangan hutan dan pelaksanaan projek pembangunan berhampiran habitat mereka.
"Ada lebih 11,000 Orang Utan di hutan Sabah dan malangnya jumlah ini semakin berkurangan. Sebarang bentuk pembangunan berhampiran "rumah" mereka perlu dihentikan kerana, jika tidak, ia akan mengurangkan kawasan untuk mereka menjalani kehidupan," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang program itu di Kuala Lumpur.
Majlis itu turut dihadiri ketua eksekutif BOH Plantation Sdn Bhd Caroline Russell dan Ketua Kumpulan Pengurusan Jenama TV9 Feisal Malik.
Dr Dionysius berkata populasi Orang Utan ini perlu dipelihara dan dipulihara kerana ia menjadi ikon negara ini dan memikat hati masyarakat dari seluruh dunia.
Mengenai program itu, beliau berkata ia penting sebagai usaha untuk mewujudkan kesedaran segenap lapisan masyarakat tentang nasib yang menimpa haiwan berkenaan. Sebanyak 60 sekolah menyertai program itu, yang berakhir pada 4 Oktober lalu.
Melalui program ini, pelajar dikehendaki menjalankan kempen untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakan sebaya mereka dan masyarakat umum tentang pentingnya usaha memulihara Orang Utan.
No comments:
Post a Comment