Tuesday, November 2, 2010

Takaful Ikhlas Sasar Raih RM750 juta

Takaful Ikhlas Sdn Bhd menyasarkan meraih pendapatan premium insurans takaful sebanyak RM750 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik.

Pengerusi Takaful Ikhlas, Sharkawi Alias (gambar kanan), berkata sejak ditubuhkan pada September 2002 dan beroperasi Julai 2003, syarikat sudah mencatatkan pertumbuhan mapan berterusan daripada hanya 145 kakitangan dan meraih pendapatan RM147 juta pada tahun kewangan 2005.

Katanya, pendapatan syarikat meningkat kepada RM224 juta (2006), RM428 juta (2007), RM579 juta (2008) dan RM615 juta pada tahun lalu.

“Kami yakin dengan pertumbuhan syarikat yang begitu pesat, sasaran kami untuk memperoleh kutipan sumbangan sehingga RM750 juta pada akhir tahun ini akan tercapai,” katanya.

Beliau menyatakannya selepas majlis perasmian pejabat Takaful Ikhlas Wilayah Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu, kelmarin. Hadir sama, Ketua Eksekutifnya Datuk Syed Moheed Syed Kamarulzaman.

Sharkawi berkata, kumpulan itu sentiasa membuka peluang menambah bilangan ejen perniagaan produk insuransnya dan kini syarikat mempunyai lebih 7,633 ejen di seluruh negara dengan menawarkan lebih 90 pelan perlindungan kewangan berlandaskan Syariah.

“Daripada lebih 1.7 juta pemegang sijil insurans Takaful Ikhlas, tujuh peratus atau kira-kira 110,000 orang adalah bukan Islam, sekali gus membuktikan produk berkenaan yang berlandaskan Syariah turut menjadi pilihan orang bukan Islam demi masa depan mereka,” katanya sambil menambah Pejabat Takaful Ikhlas Wilayah Terengganu adalah cawangan ke 11 di seluruh negara dan ketiga di Pantai Timur selepas Kota Bharu dan Kuantan.

Katanya, prestasi perniagaan produk Takaful Ikhlas menerusi kira-kira 500 ejennya di Terengganu sekarang amat memberangsangkan menyebabkan syarikat mengambil keputusan membuka pejabat wilayah di negeri itu untuk memudahkan pelanggan dan ejen berurusan secara terus dengan syarikat.

“Bagi peringkat Terengganu, kami menyasarkan perolehan pendapatan bagi semua perniagaan produk Takaful Ikhlas sebanyak RM31 juta untuk tahun kewangan berakhir Disember ini, berbanding RM13.9 juta tahun lalu,” katanya

No comments:

Post a Comment