Friday, November 5, 2010

Terengganu Cipta 6,000 Usahawan Menjelang 2013

Kerajaan negeri menyasarkan untuk melahirkan 6,000 usahawan bumiputera terutamanya dalam bidang peruncitan, pengedaran, pertanian dan industri makanan halal menjelang 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, keempat-empat bidang itu berpotensi dijana untuk menarik penglibatan rakyat.

“Berdasarkan kekuatan dari segi maklumat dan sokongan pelbagai agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), sasaran ini mampu dicapai,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Terengganu, di Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Majlis anjuran YPU dan Gabem ini turut dihadiri oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik; Pengarah Gabem, Sahlan Saruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik.

Konvensyen sehari itu antara lain bertujuan membincangkan kesan dan hala tuju Model Baru Ekonomi (MBE) terhadap ekonomi orang Melayu di negeri ini serta memberi gambaran senario cabaran, saingan dan hambatan ke arah memajukan usahawan Melayu.

Mohamed turut mengingatkan usahawan Melayu negeri ini supaya tidak terlalu ‘manja’ sekiranya mahu berjaya dalam dunia perniagaan kerana ramai di kalangan mereka bukan sahaja mengharapkan projek dari kerajaan malah mahu dibantu sekali gus dengan modal.

“Sebenarnya banyak sebab mengapa usahawan Melayu masih lagi lemah dalam bidang ini dan kita perlu kenal pasti kelemahan tersebut serta mencari jalan untuk memperbaikinya agar mereka dapat diperkasakan bagi bersaing di pasaran terbuka,” katanya yang juga Pengerusi Gabem negeri.

Beliau yang juga Pengerusi YPU berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1 juta melalui YPU bagi memberi pinjaman kepada usahawan-usahawan untuk membuka perniagaan baru serta mengembangkan perniagaan sedia ada.

Sementara itu, Abdul Rahim memberitahu, Gabem akan menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Pusat Sehenti Gabem (PSG) pada 9 November ini di Pusat Dagangan Terengganu, dekat sini.

“Program ini merupakan kerjasama strategik daripada kementerian dan agensi kerajaan terpilih bagi memberikan perkhidmatan di bawah satu bumbung kepada usahawan, bakal usahawan dan badan ekonomi bumiputera.

“Ia sebagai platform untuk menyalurkan permasalahan berkaitan keusahawanan dan sumber maklumat mengenai peluang latihan, pembiayaan dan projek-projek yang boleh disertai oleh masyarakat ekonomi bumiputera,” jelasnya.

Antara kementerian dan agensi terlibat adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Unit Perancang Ekonomi dan Bank Negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment