Sepuluh nelayan rakyat Vietnam yang bekerja dengan sebuah bot pukat tunda tempatan nyaris maut apabila bot mereka dipukul ombak besar dan pecah di Pulau Gemia, berhampiran Pulau Kapas, Marang malam kelmarin (Rabu).
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu Lt Muda Syed Ahmad Mohd Roseli Syed Abu Bakar berkata bot berkenaan telah melanggar batu sebelum terkandas di Pulau Gemia, kira-kira pukul 10.30 malam.
"Semua nelayan itu ditempatkan sementara di resort di Pulau Gemia," katanya ketika ditemui pemberita di Pelabuhan Perikanan Cendering, di kelmarin.
Beliau berkata kapal Kilat 27 dan kapal Pelindung I yang diarah untuk mengambil mereka pagi ini tidak dapat keluar ke muka kuala Sungai Terengganu kerana ombak besar dan cuaca buruk.
Syed Ahmad Mohd Roseli berkata ini adalah kejadian kedua bot nelayan karam dipukul ombak besar dalam tempoh tiga hari. Selasa lepas sebuah bot nelayan terbalik berhampiran Pulau Tenggol dan 10 awak-awak bot selamat.
Sementara itu, pemilik bot terbabit Datuk Mohd Zakaria Nawang, 45, berkata bot itu bersama 10 awak-awak keluar dari Pelabuhan Perikanan Cendering untuk operasi laut dalam pada pukul 9 malam tadi.
Lebih kurang sejam setengah perjalanan ke Pulau Tenggol, bot itu dipukul ombak besar dan tidak dapat dikawal lalu melanggar batu berhampiran Pulau Gemia dan pecah, katanya.
Beliau berkata kesemua awak-awak dalam bot tercampak ke laut dan mereka berenang ke Pulau Gemia dan diselamatkan serta diberi pelindungan oleh pekerja resort di pulau itu.
Mohd Zakaria yang juga pengerusi Konsortium Bot-bot Laut Dalam Cendering berkata sebuah bot laju dari Marang telah mengambil nelayan-nelayan itu di Pulau Gemia untuk dibawa balik ke Cendering, petang ini.
Beliau berkata kesemua nelayan yang berumur antara 20 dan 40 tahun itu mempunyai pas nelayan menangkap ikan di perairan Malaysia.
No comments:
Post a Comment