Saturday, December 11, 2010

UMT Hasil 58 Terbitan Bentuk Buku, Jurnal

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya menerbitkan sebanyak 58 buku, jurnal dan akhbar dalam usaha menjadikan universiti tersebut terkenal dengan penerbitan ilmiah.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata, pihak universiti sentiasa menggalakkan warga pendidik universiti itu untuk menulis dan menerbitkan buku.

”Dalam usaha kita menuju ke arah universiti penyelidikan, aktiviti penerbitan turut menjadi fokus utama universiti. Penerbitan sesebuah universiti sangat penting selain aspek modal insan, paten dan hak cipta intelek,” katanya.

Beliau menyatakannya pada Majlis Pelancaran Buku Terbitan Penerbit UMT 2010 di Ri-Yaz Heritage di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Ketua Penerbit UMT, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor.

Aziz berkata, pihaknya menyasarkan setiap fakulti pengajian di universiti akan menghasilkan kira-kira dua buku setahun bagi mencapai hasrat tersebut.

Dalam pada itu, Noraien berkata, Penerbit UMT berjaya membawa pendapatan hasil jualan buku pada tahun ini sebanyak RM106,508.85 sehingga Oktober lalu.

”Sehingga kini, Penerbit UMT berjaya menerbitkan 58 penerbitan termasuk majalah INFOKUS dan akhbar Samudera mengikut tempoh yang ditetapkan.

”Laman web Penerbit UMT juga telah dinaik taraf yang menyediakan kemudahan membeli buku penerbitan kami dengan menggunakan kad kredit,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment