Kaunter pendaftaran pertandingan memancing pantai sempena Monsoon Cup 2010 di Persisiran Pantai Pulau Warisan, Kuala Terengganu akan dibuka mulai 3 Disember (Jumaat) jam 2.30 petang.
Kaunter di khemah urus setia di pulau itu dibuka selepas solat Jumaat sehingga waktu pertandingan iaitu Sabtu jam 8 pagi. Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mizal Hasbullah berkata, kaunter pendaftaran yang dibuka selama sehari semalam itu akan dikendalikan petugas Team Joran.
“Kita meminta pemancing yang mahu mengambil bahagian ini mendaftar diri lebih awal sesudah solat Jumaat bagi mengelakkan kesesakan jika mendaftar pada saat akhir.
“Pemancing perlu membawa borang rasmi penyertaan yang dikeluarkan Berita Harian dan Harian Metro bersama yuran RM80 seperti tertera dalam iklan pertandingan setiap Sabtu,” katanya.
Borang rasmi penyertaan untuk akhbar Berita Harian dikeluarkan pada 18, 21, 25 dan 30 November serta 2 dan 4 Disember manakala Harian Metro 26, 28 dan 31 November serta 1,3 dan 4 Disember depan.
Mizal menambah, untuk melancarkan pertandingan memancing yang pernah mendapat penyertaan hampir 2,000 peserta pada 2007, pemancing dinasihatkan mematuhi peraturan yang ditetapkan penganjur.
“Peserta yang masih keliru dengan syarat pertandingan boleh merujuk terus kepada penganjur atau petugas yang akan ditempatkan di setiap pos berdekatan lokasi pertandingan,” katanya.
Pada hari pendaftaran, sebanyak 2,000 helai kemeja-T ekslusif berlengan panjang empena Monsoon Cup akan diberi kepada peserta terawal mendaftar. Selain itu, penganjur turut menyediakan dua motosikal Modenas Kriss sebagai hadiah pemenang cabutan bertuah yang akan diumumkan pada majlis penutup.
Pertandingan memancing itu dijadual berlangsung 4 Disember (Sabtu) dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM65,500 kepada pemenang dengan juara membawa pulang wang tunai RM30,000, kedua RM15,000; ketiga RM10,000.
Pertanyaan lanjut hubungi Unit Joran: 03- 22822323 sambungan 4240/4241 atau hubungi Pejabat Berita Harian Terengganu: 09- 62263366 atau Umbai: 013-3310166.
No comments:
Post a Comment