Thursday, December 30, 2010

30 Januari Sebutan Semula Kes 6 Buruh

Mahkamah Majistret di Marang, kelmarin menetapkan 30 Januari depan bagi sebutan semula kes enam buruh termasuk seorang warga Thailand yang didakwa membunuh seorang penoreh getah dengan memaksa mangsa meminum racun di Kampung Lubuk Batu, Wakaf Tapai, 19 Oktober lalu.

Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan tarikh itu bagi menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Sebelum ini, lima tertuduh, Mat Ubidi Osman, 39, Khairul Amilin Samsudin, 17, Kamaruzaman Mamat, 25, Mas Anuar Fauzi, 27, dan seorang warga Thailand, Roslan Arifin, 24, pernah didakwa di mahkamah sama manakala Mohd Faizal Mohd Zulkifli, 23, merupakan tertuduh baru.

Ini kerana ketika pertuduhan pertama dibacakan pada 2 November lalu, tertuduh keenam, Mohd Faizal masih bebas dan dia berjaya ditangkap 5 November lalu di Kampung Kejir, Hulu Terengganu.

Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersamaan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian 19 Oktober lalu, Muda Mohd dikatakan dipaksa minum racun oleh keluarga teman wanitanya, sebelum mengadu sakit perut dan rebah di dapur rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 1 petang.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir selepas sembilan hari dirawat di HSNZ kerana keracunan itu.

No comments:

Post a Comment