Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Parlimen Hulu Terengganu mempunyai pendekatan tersendiri mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat melalui pelaksanaan Program Asyura dan Minum Petang Bersama Pemimpin, kelmarin.
Tambah menarik, sebanyak kira-kira 1,000 bungkusan bubur asyura diagihkan kepada orang ramai dengan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Rozi Mamat dan ADUN Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail.
Penyelaras program, Nur Ezreen Talib berkata, sebanyak enam kawah asyura disediakan sempena program berkenaan melibatkan penyertaan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Kuala Berang, Telemong dan Ajil kerana kejayaan pelaksanaannya pada tahun lalu.
Menurutnya, program seumpama ini adalah pendekatan dan kaedah terbaik mengeratkan hubungan antara APMT dengan masyarakat setempat, khususnya di daerah Hulu Terengganu selaras dengan misi serta visi penubuhannya.
“Menyedari hakikat itu, APMT kembali melaksanakan program sebegini memandangkan kita telah menerima sambutan dan maklum balas positif daripada komuniti setempat sewaktu program sama diadakan pada tahun lalu berdekatan Padang Astaka, Kuala Berang," katanya.
Namun menurutnya, kali ini pengisiannya mempunyai kelainan� tersendiri kerana mereka turut mengagihkannya kepada orang ramai di hadapan Bangunan Pejabat UMNO Bahagian Hulu Terengganu selain mengadakan majlis minum petang bersama pemimpin.
“Jika tahun lalu, kita menjemput orang ramai menikmati bubur asyura disediakan APMT ini ke lokasi program, tetapi kali ini kaedah pengagihan� dilakukan. Secara tidak langsung memberi lebih peluang kepada warga kerja APMT bermesra dengan semua peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sewaktu Program Asyura dan Minum Petang Bersama Pemimpin anjuran APMT Parlimen Hulu Terengganu di hadapan pekarangan Pejabat ADUN Telemong, di sini, kelmarin.
Menurut Nur Ezreen yang juga Penyelia DUN Kuala Berang, sebanyak enam kawah bubur asyura disediakan secara gotong-royong sempena program berkenaan dengan penglibatan kira-kira 50 warga kerja APMT.
No comments:
Post a Comment