Thursday, December 16, 2010

46 peniaga dapat ruang selesa di pasar Batu Enam

Mohd Nasir Ibrahim Fikri (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada seorang peniaga di Pasar Batu Enam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Seramai 46 peniaga kecil di Pasar Batu Enam di sini gembira diberikan peluang untuk berniaga di premis baru selepas menunggu tiga tahun.

Mereka yang sebelum ini terpaksa berkongsi ruang niaga di pasar berkenaan dalam keadaan bersesak kini berpeluang berniaga di gerai sendiri dalam keadaan kemas dan tersusun.

Para peniaga berkenaan menjalankan operasi perniagaan di deretan gerai pinggir pasar itu selepas menerima kunci dalam satu majlis di Kuala Terengganu kelmarin yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

Salah seorang peniaga, Azmi Yusof mengucapkan terima kasih dan gembira kerana dapat berniaga di premis baru.

Azmi berkata, ruang niaga yang disediakan itu selesa dan bersesuaian dengan barang jualannya iaitu santan.

"Sebelum ini, saya berniaga di pasar Batu Enam sejak lapan tahun lalu dan ruang untuk berniaga agak terhad," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir memberitahu, sebanyak 51 buah gerai telah dibina sejak awal tahun lepas untuk memenuhi keperluan peniaga kecil berkenaan.

Katanya, ia lambat disiapkan kerana reka bentuk yang dirancang perlu dikemas kini bagi memenuhi keperluan peniaga.

Menurut beliau, pembinaan 51 buah gerai menelan kos sebanyak RM1.47 juta.

"Kita masih menimbang permohonan untuk mengisi lima lagi gerai berkenaan kerana kita mahu menawarkan ruang perniagaan untuk peniaga kecil yang telah lama berniaga di sini.

"Ini kerana ruang niaga yang disediakan amat rendah melibatkan sewa antara RM70 hingga RM80 bagi perniagaan runcit, buah-buahan dan sebagainya manakala untuk peniaga makanan pula sebanyak RM200," katanya.

No comments:

Post a Comment