Wednesday, December 15, 2010

Ahmad Said Bertegas Kekal Penempatan Orang Melayu di Bandaraya KT

Terbuka...Ahmad Said menerima rayuan penduduk ketika sidang DUN berhenti rehat semalam. Tiga dari kiri ialah Dr Syed Azman.

Bukan mudah untuk membuat keputusan besar khususnya menjamin agar orang Melayu terus kekal di bandar raya.

Tetapi itulah yang dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Bukan sekadar terpaksa bertegang leher pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), turun padang memberikan penjelasan tetapi juga perlu berani melayani pihak yang datang menuntut dan menyatakan tidak puas hati mereka.

Semalam, selepas ‘hangat’ pada sidang DUN kerana melayani soalan dan pertanyaan dan dakwaan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk), pada waktu rehat, beliau menerima pula surat rayuan wakil sebahagian penduduk di Ladang.

Apapun, seperti kata Ahmad Said, kerajaan negeri Terengganu sentiasa memastikan 80 peratus orang Melayu kekal di kawasan penempatan mereka, termasuk di Bandaraya Kuala Terengganu.

Beliau berkata kerajaan negeri misalnya telah membina pangsapuri di dalam kawasan bandar dengan menyediakan subsidi 50 peratus terhadap pembeliannya dan menjualnya dengan harga RM75,000 setelah tiga tahun disewa.

"Berapa banyak tanah tempatan dibeli oleh orang lain dan dihalau oleh pembelinya begitu sahaja. Tetapi kerajaan bayar segala-segalanya, ayam, pokok pun (kerajaan) bayar.

"Malah orang yang menumpang di tanah (kerajaan) puluhan tahun secara haram, kerajaan tak pernah denda, sebaliknya beri lagi sagu hati, rumah dan subsidi. Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan," katanya.

Beliau menjawab dakwaan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) bahawa kerajaan negeri tidak peka dengan nasib dan hak orang Melayu berkaitan isu pengambilan tanah bagi tujuan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu.

Ahmad menjelaskan pengambilan tanah bagi tujuan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu turut dilakukan ekoran kajian mendapati terdapat banyak masalah sosial di kawasan Tanjung dan Ladang seperti sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.

Pada sebelah petang, ketika membahaskan Ucapan Bajet 2010. Syed Azman sekali lagi menimbulkan isu ini dengan mengatakan kerajaan BN tidak membela penduduk yang terpaksa berpindah.

Hakikatnya penduduk yang berpindah dan mendiami rumah baru di tengah bandar secara sewabeli ada yang menerima subsidi bayaran bulanan sebanyak RM126 selain penghuni biasa dengan sewaan RM300.

No comments:

Post a Comment