Thursday, December 9, 2010

Anuar Mahu Balas Jasa TCT

Memilih untuk berkhidmat bersama pasukan negeri kelahirannya, Anuar Manan yang mencipta sejarah sebagai pelumba pertama negara menakluki satu peringkat perlumbaan dan dinobat gelaran Raja Pecut pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, berharap dapat mengekalkan gelaran itu pada LTdL 2011, 23 Januari hingga 1 Februari depan.

Pada LTdL 2010, Anuar yang ketika itu mewakili Guemsan-Ginseng Asia dari Korea Selatan menjuarai peringkat kelima dari Muar ke Port Dickson, kini giat menjalani latihan selepas berakhir Sukan Asia Guangzhou, bulan lalu.

“Tidak ada negeri seperti Terengganu yang berani menubuhkan skuad lebuh raya profesional sendiri. Saya hormati Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said yang sanggup berkorban dan kalau dia boleh berkorban, kenapa tidak saya?

“Tidak salah rasanya kalau saya mencurahkan bakti untuk menaikkan nama negeri kelahiran pada LTdL kali ini kerana tiada pasukan negeri yang seberani ini sebelum ini,” kata pelumba kelahiran Kuala Ibai itu.

Selepas hanya menduduki tempat keenam pada Sirkit kelima Grand Prix Kebangsaan di Kuala Selangor Ahad lalu, Anuar meneruskan latihan di bawah jurulatih Terengganu Cycling Team (TCT), Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan sebelum dijangka menandatangani kontrak setahun bersama TCT, pertengahan bulan ini.

Pelumba 24 tahun itu berkata, antara faktor lain yang mendorongnya untuk menyertai TCT ialah kerana mendapati pihak pengurusan yang teratur selain dimaklumkan bakal dibarisi rakan sepasukannya yang mampu membentuk sebuah pasukan mantap.

Sebelum ini, Syed Mohd Hussaini pernah memberi bayangan untuk membariskan lapan pelumba kelahiran negeri itu dengan beberapa nama disenarai pendek adalah Mohd Harrif Salleh, Mohammad Saufi Mat Senan, Yusrizal Yusuf, Mohd Faiz Sharifudin Abdul Kadir, Mohd Sobri Abdullah, Ahmad Haidar Anuawar, Nur Rizuan Zainal, Ahmad Fallanie Ali dan Amir Mustafa Rusli.

No comments:

Post a Comment