Thursday, December 9, 2010

Ratusan Ikan Tasik Kenyir Mati Akibat Suhu Tinggi?

Selepas gempar dengan berita berhubung air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli, Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) mendedahkan sejak lebih sebulan lalu, sekurang-kurangnya ratusan ikan di tasik berkenaan mati akibat peningkatan suhu air tasik berkenaan.

Pengarah AKUATROP Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Faizah Shahrom, berkata lonjakan suhu air di tasik itu yang sangat jarang berlaku selain di tasik beberapa negara seperti Afrika, Amerika Selatan dan Rusia, dipercayai membunuh ratusan spesies ikan di situ.

Beliau berkata, peningkatan kadar suhu air Tasik Kenyir yang tidak seimbang menyebabkan keadaan tidak selesa untuk ikan hidup.

"Kita mendapati suhu air di beberapa bahagian tasik ini tidak berubah sepanjang hari. Contohnya, jika suhunya setinggi 31 darjah selsius pada jam 6 pagi, suhu sama dicatatkan pada jam 10 pagi.

"Ini menyebabkan ikan tidak selesa hidup dan akhirnya mati kerana kadar suhu air yang tinggi, tetapi ia tidak memberi kesan kepada manusia," katanya selepas pelancaran pertandingan memancing Kenyir Cup di Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di Kenyir, kelmarin.

Pelancaran pertandingan tangkap dan lepas yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dilakukan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Awang dan menerima penyertaan kira-kira 80 peserta dari China dan Hong Kong.

Dr Faizah berkata, disebabkan peningkatan suhu air di tasik berkenaan termasuk di Sungai Comor, pengusaha ikan sangkar disaran memindahkan lokasi ternakan ke kawasan suhu airnya lebih sejuk bagi mengelak kejadian ikan mati.

Sementara itu, beliau berkata, kajian dilakukan AKUATROP di Tasik Kenyir menjurus kepada kualiti air tasik berkenaan dengan mengambil sampel air daripada Sungai Comor dan mendapati banyak ikan di situ mati kerana suhu air panas sehingga mencecah 31 darjah Selsius.

1 comment: