Friday, December 24, 2010

Balai Polis Cendering Menang Balai League Table Kategori E

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan terus memberi pengiktirafan kepada balai-balai polis terbaik menerusi program Balai League Table (BTL), malah merancang mengembangkan program itu ke peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tahun depan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Katanya program yang dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu didapati menampakkan hasil positif, terutama dari segi peningkatkan kerjasama berpasukan serta persaingan sihat antara balai-balai yang bertanding.

Beliau berkata konsep penubuhan BTL memberi fokus usaha meningkatkan lagi prestasi anggota, dan dalam tempoh antara Januari dan November lepas, indeks jenayah jalanan serta keseluruhannya kelihatan amat memberangsangkan.

"Kami yakin dalam tempoh lapan hari sebelum tahun baru, sasaran yang ditetapkan dalam NKRA akan tercapai iaitu penurunan 20 peratus jenayah jalanan dan lima peratus jenayah keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan BTL siri 2/2020 dan 3/2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata kejayaan program BTL ini turut menunjukkan peningkatan kerjasama antara polis dan masyarakat serta agensi lain seperti Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan membina persaingan positif antara 753 balai di seluruh negara.

BTL bertujuan menilai prestasi balai-balai dalam menurunkan kadar jenayah serta inisiatif yang diambil bagi menambah baik kaedah pencegahan jenayah yang dijalankan.

Lima kategori balai dipertandingkan dengan pembahagian berdasarkan antaranya faktor populasi penduduk, kawasan pentadbiran, jumlah laporan tahunan, beban jenayah, beban dadah dan kes trafik.

Untuk BTL Siri 2/2010 yang bermula dari Mei hingga Ogos, juara dimenangi oleh Balai Polis Petaling, Brickfields, untuk kategori balai A, Balai Polis Pandaman, Klang (kategori balai B), Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu (kategori balai C), Balai Polis Batang Kali, Selangor (kategori balai D) dan Balai Polis Changkat Jering (kategori balai E).

Bagi Siri 3/2010 dari September-November pula, Balai Petaling sekali lagi mengekalkan prestasi terbaik dengan menjuari kategori balai A, Balai Polis Perai, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (kategori balai B), Balai Polis Kg Tawas, Ipoh, Perak (kategori balai C), Balai Polis Arang Gombak, Selangor, (kategori balai D) dan Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu (kategori balai E).

Juara BTL menerima RM500, tempat kedua RM300 dan ketiga RM200 untuk setiap anggota dan kakitangan di balai tersebut.

No comments:

Post a Comment