Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itu yang terpaksa dilalui Mohd Hanafi Abd Razak, 24, selepas isteri tersayang disahkan menghidap penyakit kronik iaitu Sistem Lupus Eritematisus (SLE).
Isterinya, Faridah Mamat, 23, tidak mampu bergerak dan sekadar terlantar di rumah mereka di Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu, sejak empat bulan lepas.
Lebih malang, Faridah koma ketika mengandungkan tiga bulan dan kandungannya, sepasang bayi kembar, terpaksa digugurkan ekoran penyakit yang dihidapi.
Sejak terlantar, Faridah yang memerlukan penjagaan sepenuh masa, dijaga suami dan keluarganya secara bergilir-gilir.
Bagaimanapun, disebabkan faktor kemiskinan, keluarga Faridah berdepan masalah lebih berat kerana kos rawatannya mencecah RM3,000 sebulan bagi membiayai susu, lampin dan tiub pakai buang, selain memerlukan tilam khas.
Pendapatan Mohd Hanafi yang mengambil upah memasang dan menampal poster hanyalah sekitar RM20 sehari, dan jumlah itu jauh daripada mencukupi bagi menanggung kos rawatan isterinya.
Kakak Faridah, Nor Hayati, 40, berkata berdasarkan laporan hospital, penyakit adiknya sukar diubati kerana sistem saraf otak wanita malang itu rosak teruk akibat jangkitan kuman.
"Sedih sangat melihat keadaannya. Dia seorang yang ceria, kami sekeluarga rindu dengan keletahnya, bagaimanapun, kami reda dengan nasib yang menimpanya," katanya yang menjaga Faridah ketika Mohd Hanafi keluar bekerja.
Beliau berkata setiap hari, anggota keluarganya bertungkus-lumus mencari hampir RM100 untuk Faridah, termasuk menyediakan susu yang mencecah kos RM70 sehari.
Bagaimanapun, beban yang ditanggung keluarga itu mendapat perhatian Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bagi Barisan Nasional, Wan Kamal Wan Ismail.
Beliau berkata bagi meringankan beban perbelanjaan mereka, pihaknya telah membantu keluarga itu memohon bantuan Tabung Darul Iman.
"Permohonan telah dibuat, kita masih menunggu keputusan dari kerajaan negeri. Baru-baru ini, pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat ada melawat, dan bersetuju menyediakan katil khas untuk pesakit ini," katanya.
Bagi mereka yang ingin membantu, keluarga Faridah boleh dihubungi di talian 019-9181588.
No comments:
Post a Comment