Wednesday, December 29, 2010

Karnival Perkahwinan Pantai Timur 6 Januari

Gambar hiasan - aksesori perkahwinan yang mungkin dipamerkan.

Bagi mereka yang akan melangkah ke alam rumah tangga, Karnival Perkahwinan Pantai Timur yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu pada 6 Januari depan menawarkan kemudahan dalam mengatur persiapan.

Jurucakap penganjur, Roslina Zakaria berkata, program selama tiga hari di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) menghimpunkan pengendali perkhidmatan dan barangan perkahwinan di bawah satu bumbung.

"Selain mempamerkan hasil kreatif terkini seperti set pelamin dan hantaran di samping kemudahan yang ditawarkan, ia bertindak sebagai pusat promosi kepada para pengusaha.

"Ini termasuklah pakej bulan madu, butik pakaian pengantin dan fesyen, pelamin, katering, jurugambar, kedai bunga, pusat kecantikan, hotel dan barangan kemas," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Tambah Roslina, di samping aktiviti jualan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) turut membuka kaunter bagi pendaftaran kursus perkahwinan dan ujian saringan kesihatan bakal pengantin oleh Jabatan Kesihatan negeri.

"Bagi berkongsi idea persiapan perkahwinan bersama pelanggan dan menguji kreativiti antara pengusaha, turut dianjurkan pelbagai pertandingan seperti pelamin tercantik, tatarias pengantin terbaik dan gubahan hantaran terbaik.

"Bagi memeriahkan suasana, akan diadakan pertunjukan busana muslimat, fesyen pengantin dan tarian di samping demonstrasi ukiran inai, solekan dan perarakan pengantin yang membawa konsep moden dan tradisi," katanya.


Ujarnya, ia juga dapat memberi banyak maklumat seperti tawaran istimewa promosi perkahwinan, perbandingan harga serta pelbagai pilihan perkhidmatan dan produk.

"Insiatif ini akan membantu melegakan bakal pengantin dan keluarga mereka yang mungkin tercari-cari pelbagai kemudahan dan perkhidmatan di pelbagai tempat. Jadi kami himpunkan setempat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment