Wednesday, December 29, 2010

Ketua Polis Terengganu Seru Anggota Perkukuh Disiplin

Ketua Polis negeri yang baru, Datuk Jamshah Mustafa menyeru semua anggota agar memperkukuh disiplin bagi mempertahankan imej polis dan mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan.

Beliau berharap kontinjen negeri ini dapat menjadi contoh terbaik dalam memikul tanggungjawab ke arah mengekalkan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Menurut Jamshah, ini juga merupakan cabaran baginya dan beliau akan menjalankan tanggungjawab secara konsisten dan meneruskan kegemilangan polis kontinjen negeri ini.

Beliau turut mengharapkan semua anggota memberi sokongan dan kerjasama kepadanya untuk memikul tugas berat itu.

"Saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan tekad akan memastikan terus memberi perkhidmatan terbaik di samping mengekalkan kecemerlangan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dan penerimaan tugas Ketua Polis negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Kuala Terengganu semalam. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri/Keselamatan Awam, Datuk Salleh Mat Rashid.

Jamshah yang sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Latihan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menggantikan Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Mohd. Shukri yang berkhidmat selama lebih dua tahun di negeri ini akan menjawat jawatan baru selaku Ketua Polis Perak esok.

Jamshah berharap, kerjasama antara polis dan anggota masyarakat dapat diteruskan dalam usaha menurunkan lagi indeks jenayah di Terengganu.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, indeks jenayah di di negeri ini berjaya dikurangkan sebanyak 24.1 peratus sehingga November lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, pencapaian ini berikutan kerjasama erat antara pihak polis dengan masyarakat terutama dalam aspek menyalurkan maklumat.

Dalam tempoh yang sama juga katanya, sebanyak 55.46 peratus kes jenayah berjaya diselesaikan dan ini memperlihatkan keberkesanan usaha dalam menanganinya.

No comments:

Post a Comment