Wednesday, December 15, 2010

KIST Terima 60 Pelajar Tajaan Kementerian Kesihatan

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST, akan mula menerima kemasukan pelajar melalui Kementerian Kesihatan bagi Program Sijil Pembantu Kesihatan Awam (PKA), Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KIST (Pengambilan Pelajar) Noor Haslina Abdullah memberitahu, ia memperlihatkan keyakinan kementerian terhadap institusi pengajian itu bagi membekalkan tenaga mahir.

Katanya, kumpulan perintis seramai 60 pelajar lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negara.

"Mereka akan ditempatkan di Kampus Bachok Kelantan dan akan mengikuti pengajian selama dua tahun (empat semester) dengan latihan praktikal di klinik-klinik kesihatan.

"Kursus ini bakal melahirkan pegawai PKA yang akan ditempatkan di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara," ujar beliau.

Katanya, difahamkan setiap tahun, pihak kementerian memerlukan sekurang-kurangnya 300PKA untuk mengisi kekosongan.

PKA merupakan program terbaru yang ditawarkan oleh KIST yang dimulakan awal tahun ini dengan pengambilan pelajar yang terdiri daripada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Bagi PBT, ini adalah suatu program yang disasarkan bagi menambah keilmuan dan kemahiran dalam melindungi kesihatan masyarakat daripada penyakit.

"Kakitangan mereka terlibat dalam aktiviti seperti pencegahan dan kawalan penyakit, penjagaan kebersihan alam sekitar, kawalan mutu makanan, kawalan mutu air minuman, kesihatan alam sekitar dan program perlindungan alam sekitar," ujarnya.

Kata beliau lagi, Program Sijil PKA pada awalnya dikhaskan untuk calon-calon yang ditaja oleh PBT, Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan lainnya dan juga swasta.

"Ia hanya memerlukan kelulusan SPM/ SPMV dengan memperoleh satu kepujian dalam mana-mana mata pelajaran," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, ia kini turut dibuka kepada pelajar tanpa tajaan dengan pengajian dibiayai oleh KIST dan pembayaran balik selepas bekerja melalui ikatan perjanjian.

No comments:

Post a Comment