Wednesday, December 15, 2010

Ahmad Said Lawat Mangsa Letupan Paip Gas Luar Pantai

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melawat dan bertanya khabar dengan mangsa letupan paip gas di Pelantar Minyak Bekok C milik Petronas, Alias Abdullah, 52di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Enam pekerja pelantar minyak milik Petronas di luar pantai Terengganu dilaporkan cedera apabila pelantar yang sedang dalam penyelenggaraan berkala terbakar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam kelmarin itu, pelantar Bekok C yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pantai terbakar tetapi api dapat dikawal daripada marak.

Seramai 102 kakitangan pelantar kendalian Petronas Carigali Sdn Bhd itu berjaya dipindahkan ke pelantar berhampiran.

Setakat ini punca kebakaran belum dapat dipastikan tetapi difahamkan ia akibat paip gas yang bocor.

Syarikat tersebut dalam satu kenyataan semalam berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam, seramai 108 pekerja berada di pelantar yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pantai Semenanjung.

Katanya, ia berlaku ketika Bekok C baru ditutup operasinya bagi tujuan kerja-kerja penyenggaraan berjadual.

Menurut kenyataan itu, bagaimanapun kebakaran berjaya dikawal dengan segera hasil tindakan pantas pasukan kecemasan pelantar berkenaan.

“Kesemua pekerja yang cedera dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan segera dan keadaan mereka kini stabil,” menurut kenyataan itu.

Seramai 102 pekerja lagi dipindahkan ke pelantar berhampiran sementara pihak syarikat melakukan siasatan tentang punca kebakaran.

“Petronas Carigali telah memaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan dan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut,” ujar kenyataan itu.

Mangsa yang melecur sebahagian anggota badan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, mereka yang cedera ialah Alias Abdullah, Hamzah Abdullah, Fauzi Ibrahim, Rishaudin Ismail, Ariff Farimi, dan Zamri Wagiman.

Mereka tiba di hospital itu kira-kira jam 9 pagi dengan seorang daripada mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, seorang di Unit Kecemasan manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.

Bagaimanapun kira-kira 12 tengah hari semua mereka dilaporkan stabil, dan ditempatkan di Unit Kebakaran HSNZ.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sempat meluangkan masa melawat mangsa sebaik saja Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berhenti rehat tengah hari.

Dalam pada itu, Ahmad ketika ditemui memberitahu, beliau difahamkan insiden berlaku akibat kebocoran gas.

“Siasatan lanjut akan dijalankan pihak Petronas tetapi saya tetap bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Mangsa yang ditemui ketika menerima lawatan Ahmad Said memberitahu, mereka ternampak percikan api sebelum kebakaran bermula.

Mereka bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian kerana difahamkan pihak pengurusan tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment