Tuesday, December 14, 2010

Lawan Masak 230 Kawah Asyura di Kemaman

Peserta bergotong-royong memasak bubur asyura pada Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2010 di SK Bukit Kuang, Kemaman, baru-baru ini.

Setiap kali ketibaan Maal Hijrah, sudah menjadi tradisi dalam masyarakat meraikannya dengan menganjurkan kegiatan memasak bubur asyura atau lebih dikenali dengan sura.

Ia dimasak di dalam kawah, adunan banyak bahan termasuk beras, kekacang, daging, bersalut rempah ratus dan untuk menyediakannya melibatkan kos agak besar, tenaga yang ramai serta masa yang panjang.

Justeru sura, bukan sekadar dilihat sebagai juadah untuk diagihkan kepada sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai tetapi salah satu langkah mengeratkan silaturahim.

Melaluinya terpancar semangat gotong-royong, kesepakatan dan kegembiraan mengecapi hasil usaha itu, biarpun juadah tradisi itu tidak menepati selera semua orang.

Semangat itulah juga yang masih dapat dilihat sehingga kini, apatah lagi apabila ia dipertandingkan seperti di peringkat daerah ini baru-baru ini, anjuran Pejabat Daerah Kemaman dan Pejabat Dewan Undangan Negeri Kijal.

Pertandingan yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuang di sini ternyata berlangsung dalam suasana meriah, biar pun hujan dan air menggenangi kawasan persekitaran.

Ia turut mendekatkan ramai kalangan generasi muda yang kini semakin asing dengan juadah itu dan mereka turut menimba pengalaman baru dalam kehidupan.

Pada program itu juga, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut melawat, memasak dan merasa sendiri keenakan makanan itu di samping menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Ia disertai pelbagai agensi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jabatan kerajaan, swasta serta badan-badan bukan kerajaan.

Sebanyak penyediaan 230 kawah disediakan dan pertandingan tentunya mengambil kira keenakan rasa di samping hiasan hidangan.

Dalam pertandingan itu, JKKK Kampung Bakau Tinggi telah dipilih sebagai johan, sementara tempat kedua dimenangi Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan tempat ketiga ialah JKKK Kampung Fikri Satu.

No comments:

Post a Comment