Tuesday, December 14, 2010

Tempat Letak Kereta Bertingkat Diperkenal Kerana Kawasan Terhad, Mahal

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pembinaan tempat letak kereta bertingkat yang menggunakan sistem putaran di Jalan Batas Baru di tengah pusat bandar raya Kuala Terengganu dilakukan kerana tanah di kawasan itu terhad dan mahal.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu. yang meminta penjelasan mengenai rasional pembinaan tempat letak kereta itu dan syarikat yang bertanggungjawab mengendalikannya.

Ahmad Said berkata syarikat Idaman Pasific Sdn Bhd telah diberi kepercayaan untuk membina serta mengendalikannya.

Menjawab soalan Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) mengenai penubuhan daerah baru Kuala Nerus, Ahmad berkata ia akan dibuat selepas pimpinan di peringkat Kuala Nerus sendiri telah muktamad memilih pusat pentadbiran untuk daerah itu.

"Setakat ini ia masih dalam kajian dan belum pun dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diputuskan kerana kita masih menunggu keputusan pimpinan Kuala Nerus sendiri tentang kawasan untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment