Monday, December 6, 2010

Perkaya Beri Bimbingan Kepada Anak Yatim Hadapi Peperiksaan

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) akan menubuhkan satu rangkaian projek "Anak Angkat Perkaya" yang akan memilih anak-anak yatim berpotensi untuk diberi bimbingan secara intensif bagi menghadapi peperiksaan utama semasa cuti sekolah.

Yang Dipertua Perkaya, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, projek yang akan bermula tahun hadapan itu akan memilih 100 murid berpotensi Tahun Empat di Sekolah Rendah, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat untuk mengikuti kelas bimbingan.

"Mereka akan dibawa tinggal di asrama Perkaya untuk mengikuti kelas bimbingan bagi menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sasaran Perkaya ialah anak-anak ini sekurang-kurangnya memperolehi lima kredit di peringkat SPM dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Agama," katanya semasa berucap pada majlis sambutan ke-30 tahun penubuhan Perkaya di Kuala Terengganu malam kelmarin.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat merasmikan majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Tengku Mahmud berkata Perkaya yang ditubuhkan pada 4 Dis 1980 di bawah naungan kerajaan negeri bertujuan memberi pembelaan kepada golongan anak yatim di seluruh negeri di mana tumpuan utama adalah bidang pendidikan.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana Perkaya berjaya melahirkan ratusan anak-anak yatim yang tinggal di asrama Perkaya sehingga dapat melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi di dalam mahupun di luar negara.

"Ada di antara mereka yang berjaya menjawat jawatan doktor pakar, pegawai tadbir diplomatik, jurutera, pensyarah, guru siswazah dan usahawan yang hebat," katanya.

No comments:

Post a Comment