Monday, December 6, 2010

Ainslie - Juara Dunia, Juara Monsun Cup

Ben Ainslie mengucap selamat tinggal kepada Jelajah Match Racing Dunia (WMRT) dengan bergaya apabila dinobatkan selaku juara dunia mengiringi kejayaannya merangkul Piala Monsun buat julung kali di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam.

Kejayaan menjulang Piala Monsun melengkapkan hujung minggu gemilang buat pemenang tiga pingat emas Olimpik dari Britain itu yang mengesahkan gelaran keseluruhan WMRT pada paginya menerusi kemaraan ke final.

Ainslie (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan memperaga replika cek dan trofi selepas muncul juara Piala Monsun di Pulau Duyong, semalam.Muncul juara Piala Monsun selepas diisytihar juara keseluruhan WMRT.

Tiket ke final yang dilangsungkan pada petang dan penamat tempat kelapan Mathieu Richard bermakna Ainslie, 33 memintas Richard, 34, dari Perancis di kedudukan teratas dengan 126 mata berbanding 111 mata.

Ia pasti pencapaian akan dikenang Ainslie yang dikecewakan 0-3 oleh Adam Minoprio, tahun lalu, apabila bangkit daripada ketinggalan 2-1 untuk menang 3-2 ke atas Torvar Mirsky (Mirsky Racing Team).

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya (Iain Percy, Christian Kamp, Matthew Cornwell dan Mike Mottl), mereka menampilkan pelayaran terbaik. Keadaan begitu sukar di sini.

“Kami perlu menangani keadaan berubah-ubah sepanjang perlumbaan, tiupan angin dan pasang surut dan arus sungai sepanjang laluan perlumbaan,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Ainslie tidak mempunyai sebarang cita-cita meneruskan pembabitannya dalam match racing, sebaliknya akan kembali ke pentas Olimpik berikutan pembubaran pasukannya, TEAMORIGIN tahun depan.

No comments:

Post a Comment