Kementerian Kesihatan pada Sabtu mengesahkan bahawa Tasik Kenyir, Terengganu, tidak dicemari dengan bakteria Escherichia coli (E-Coli) sebagaimana didakwa beberapa akhbar awal bulan ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tinjauan serta siasatan terhadap tahap pemcemaran tasik itu dibuat pada hari Ahad lepas, dan air mentahnya didapati berada dalam julat yang biasa.
Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu mengambil sampel air mentah dari tujuh 'Houseboat' dan dua pusat peranginan di kawasan itu, dan ia dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Negeri untuk dianalisis.
"Keputusan dua hari lepas mendapati tahap pencemaran E-Coli adalah pada tahap 2 hingga 920 MPN/100ml, di mana ia adalah jauh di bawah tahap maksimum kesesuaian sebagai air mentah iaitu pada 5000 MPN/100ml berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata penemuan bakteria E-Coli adalah satu kelaziman di dalam permukaan seperti tasik dan sungai kerana ia tersebar luas.
"Ia adalah satu bakteria yang besar dengan lebih 700 serotaip dikenal pasti, namun sebahagiannya adalah tidak merbahaya dan tidak menyebabkan sebarang penyakit kepada manusia," katanya menambah penemuan bakteria itu dalam air digunakan sebagai indikator pencemaran samada bagi air mentah ataupun air terawat.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak meminum terus dari sumber air mentah walaupun air itu kelihatan jernih atau bersih, manakala pengusaha tempat-tempat peranginan dinasihati supaya membangunkan sistem rawatan kumbahan di kawasan masing-masing.
"Tahap pencemaran tidak dapat ditentukan dengan hanya melihat dengan mata kasar, air perlu dimasak atau dirawat sebelum minum," tambahnya.
No comments:
Post a Comment