Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap aktiviti dan program berkaitan belia dilaksanakan berdasarkan aspirasi kehendak golongan berkenaan.
Beliau berkata tanpa mengambil kira perkara itu, golongan belia akan dilihat semakin sukar untuk didekati.
"Jangan fikir apa yang kita suka golongan berkenaan akan suka dan jangan fikir apa yang kita tak suka, golongan berkenaan juga tidak suka," katanya ketika berucap pada himpunan remaja sempena pelancaran Kelab Motor Terengganu 2010 di Stadum Tertutup Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak di Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Najib dan Ahmad Said bersama barisan EXCO ketika merasmikan Himpunan Remaja sempena Pelancaran Kelab Motor Terengganu 2010 di Stadium Tertutup Sultan Mizan Gong Badak Kuala Terengganu, semalam.
Perhimpunan berkenaan berjaya mengumpul lebih 32,000 remaja dan 16,000 remaja bermotosikal di Terengganu, yang bertujuan mendidik golongan itu agar lebih berhemah dan tidak terbabit dengan aktiviti lumba haram.
Najib berkata golongan belia kini telah melalui proses perubahan yang besar dan pendekatan yang digunakan tidak boleh lagi dilaksanakan seperti tahun-tahun 60-an dan 70-an.
Perdana Menteri juga meminta semua pihak tidak berterusan melabelkan golongan merempit sebagai samseng jalan raya.
"Jangan kata mereka samseng jalan raya... mereka boleh jadi bengang atau bosan di rumah, jadi timbulah budaya ini yang sebenarnya kita perlu juruskan kepada perlakuan yang baik agar mereka dapat mematuhi undang-undang, tidak menunggang secara berbahaya dan sebagainya," katanya.
Perdana Menteri berkata golongan berkenaan perlu diberi peluang dan kemudahan tertentu, misalnya sirkit perlumbaan, bagi membolehkan mereka berlumba dengan cara yang betul.
Najib berkata kerajaan Barisan Nasional sedang melaksanakan empat transformasi melibatkan kerajaan, ekonomi, politik dan sosial.
"Dalam transformasi sosial yang kita perjuangkan itu termasuklah program seperti hari ini yang kita mahu membentuk belia untuk pimpinan masa depan," katanya.
Najib berkata golongan belia cerminan masa depan dan mereka perlu dibimbing dengan pendekatan sewajarnya untuk menjadi pelapis kepada kepimpinan masa depan.
No comments:
Post a Comment