Monday, December 13, 2010

Terengganu Hantar Wakil Ke China Februari Ini Untuk Perkenal Lokasi Memancing

Terengganu akan menghantar wakil ke China pada Februari depan bagi memperkenalkan lokasi memancing yang menarik kepada persatuan memancing di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata Terengganu memiliki sokongan prasarana, perkhidmatan pelancongan serta kepelbagaian lokasi memancing seperti di laut dalam, pesisiran pantai, sungai dan tasik.

Beliau berkata pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 turut diadakan bagi meningkatkan jalinan hubungan dua hala China dan Malaysia kerana negara itu mempunyai komuniti pemancing yang ramai.

Katanya, penganjuran pertandingan itu telah berjaya menarik ramai pelancong ke Terengganu, terutama dari China dan boleh dijadikan platform bagi mempromosi pelancongan di negeri itu.

Abdul Rahim berkata Kenyir Cup 2010 telah dianjurkan untuk memperkenalkan Terengganu, khususnya Tasik Kenyir, sebagai destinasi pilihan memancing yang baru di peringkat antarabangsa.

"Aktiviti sebegini akan menjadi pemangkin kepada ekonomi setempat, khususnya negeri Terengganu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan itu kelmarin.

Konsep pertandingan adalah "tangkap dan lepas" kerana setiap ikan yang berjaya dipancing, akan dikenal pasti spesis, ukuran, berat serta diambil gambar oleh pengadil sebelum dilepaskan kembali ke habitat asal.

Seramai 100 peserta dari China mengambil bahagian dalam pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu berpasukan, individu China dan individu Malaysia.

Bagi kategori berpasukan, Bot A1 muncul juara serta membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 sementara Bot F yang menduduki tempat kedua mendapat RM12,000 dan tempat ketiga diraih Bot B untuk menerima RM6,000.

Sementara itu, Wu Xiao Dong muncul juara bagi kategori individu China untuk merangkul RM3,000 serta peralatan memancing, tempat kedua dimenangi Fu Yi Qi dan tempat ketiga Chan Kam Tong, masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 serta peralatan memancing.

Kategori individu Malaysia pula diungguli Mohd Fauzi Abu Wahab manakala Lu Hock Leong mendapat tempat kedua serta Mohd Salleh Hamid di tempat ketiga, dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 selain peralatan memancing.

No comments:

Post a Comment