Monday, December 13, 2010

Sasaran Satu Kompeni Wataniah Tiap Kawasan Parlimen Di Terengganu Tercapai

Terengganu sudah mencapai sasaran mewujudkan satu kompeni sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Askar Wataniah, bagi setiap kawasan Parlimen.

Ia berikutan pelancaran empat kompeni Askar Wataniah Parlimen Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di Kuala Terengganu, kelamarin.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan pelancaran empat kompeni hari ini, semua kawasan Parlimen di Terengganu kini mempunyai Kompeni Askar Wataniah di kawasan masing-masing.

Zahid menjelaskan Kementerian Pertahanan mensasarkan untuk 222 kawasan Parlimen di seluruh negara dan ketika ini 198 kawasan Parlimen sudahpun mewujudkan kompeni pasukan berkenaan, dan selebihnya tahun depan.

Beliau berkata penubuhan kompeni Askar Wataniah di setiap kawasan Parlimen akan dapat memperkukuh keselamatan dan pertahanan negara menerusi konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), iaitu penglibatan semua pihak, termasuk agensi kerajaan, swasta dan rakyat, dalam mempertahankan negara.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan empat kompeni di Kuala Terengganu, kelmarin, beliau berkata ketika ini sasaran untuk memiliki 60,000 anggota pasukan Askar Wataniah sudah tercapai.

Turut hadir pada majlis ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Pemangku Panglima Medan Tentera Darat, Mejar Jen Datuk Zulkiple Kassim, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Kol (Kehormat) Datuk Mazlan Ngah.

Sebelum itu Zahid memakaikan pangkat Kol (Kehormat) kepada Ahmad Said, yang juga penaung Askar Wataniah Terengganu.

No comments:

Post a Comment