Monday, December 6, 2010

Terengganu Tubuh Badan Penyelaras Majlis Perundingan Kebajikan

Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah Pemegang Ijazah Alumni 30 Tahun PERKAYA kepada seorang penerima di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah badan penyelaras bagi Majlis Perundingan Kebajikan di peringkat negeri dalam waktu terdekat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia bertujuan menggembleng usaha yang lebih berkesan di antara pelbagai agensi kerajaan, badan-badan sukarela kebajikan dan swasta.

Selain itu, katanya, untuk memastikan pelaksanaan kegiatan kebajikan dan kesukarelawan di negeri ini diseragamkan dan tidak bertindih.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 30 Tahun Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) dan Pelancaran Skim Waqaf Tanah Kolej Teknologi Bestari, Setiu (Peyatim) di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zanail Abidin berkenan berangkat untuk merasmikan majlis tersebut.

Menteri Besar juga amat menghargai usaha-usaha yang dilakukan Perkaya untuk mengelak pergantungan kepada bantuan kewangan kerajaan atau sumbangan orang ramai semata-mata.

Katanya, Perkaya menceburi pelbagai bidang perniagaan untuk menampung dana kewangan bagi memastikan anak-anak yatim mendapat pembelaan yang sewajarnya.

”Paling menggembirakan kerajaan, lebih 80 peratus anak-anak yatim Perkaya berpeluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran di seluruh negara,” katanya.

Di majlis itu, Ahmad bagi pihak Perkaya turut menerima sumbangan daripada pelbagai agensi yang berjumlah RM150,507.

Antara penyumbang adalah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebanyak RM49,507 (sumbangan jemaah masjid negeri Terengganu), Ketengah Holding (RM30,000), Sun Fabulous Sdn. Bhd. (RM15,000), AHT Norlan United & Carriage Sdn. Bhd. (RM10,000), Panji Rimba Sdn. Bhd. (RM10,000) dan Amanah Raya Berhad (RM10,000).

Turut menyumbang, Syarikat Air Terengganu (Satu) sebanyak RM5,000, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (RM6,000), EPIC (RM5,000) dan Kolej Teknologi Bestari, Setiu (RM10,000).

Selain itu, Menteri Besar turut menerima replika cek berjumlah RM10,020 bagi pembelian Waqaf Tanah Kolej Bestari oleh Persatuan Kebajikan Islam Terengganu (Perkasa) yang disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Yusof Musa.

No comments:

Post a Comment